Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Abdul Rahman, yang sedang bergelut dengan MRCB-George Kent - syarikat turnkey bagi projek LRT3, berkata mereka sepatutnya mengikut dasar negara dengan menyokong syarikat bumiputera.

Tajuddin juga berkata dia tidak setuju dengan pandangan pegawai "tertinggi" Prasarana bahawa pemilik projek tidak sepatutnya masuk campur dalam pemilihan subkontraktor yang dibuat MRCB-George Kent.

Dia juga tidak setuju dengan istilah "masuk campur", dan berkata Prasarana ada hal untuk "ambil tahu".

"Kita tentu sokong dasar kerajaan untuk beri keutamaan kepada syarikat tempatan.

"Dan satu lagi, kita juga patut sokong dasar kerajaan untuk galakkan penyertaan kontraktor bumiputera.

"Sebagai pemilik projek, bagi sayalah, saya tak tau pengerusi lain tak peduli hal ini, (tetapi) saya ambil berat. Bagi saya penyertaan kontraktor bumiputera penting, ia dasar negara yang kita perlu sokong," katanya ketika sidang media hari ini.

Dia turut mendakwa pegawai "tertinggi" Prasarana tidak setuju dengan pendekatan itu, tetapi enggan mendedahkan identitinya.

Terdahulu, Tajuddin mengesahkan Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana Muhammad Nizam Alias telah digantung atas sebab "keingkaran" (insubordination).

Muhammad Nizam Alias

"Kita ambil tahulah beberapa perkara yang dilakukan kontraktor turnkey ini. Tapi ada pegawai tertinggi kita, saya tak mahu sebut nama, anda boleh teka, katakan kerana mereka sudah dilantik sebagai kontraktor turnkey, kita tak patut masuk campur dalam apa yang mereka buat.

"Apa nak buat suka hati dia (kontraktor). Bagi saya tak betul. Sebagai pemilik projek kita perlu ambil tahu.

"Ini bukan maknanya menyibuk, ini hak kita," katanya lagi.

Pada 31 Dis, MRCB-George Kent bersama-sama 16 subkontraktornya mengadu kepada kerajaan yang Prasarana tidak membayar lebih RM700 juta untuk kerja yang dilakukan sejak Julai untuk projek LRT3.

Sumber memberitahu Malaysiakini yang Tajuddin mahu beberapa subkontraktor tertentu diambil untuk projek itu.

Berhubung dakwaan kontraktor LRT3 yang dia menyekat bayaran RM700 juta kepada mereka, Tajuddin berkata: "Untuk pengetahuan anda, kita telah bayar RM3.468 bilion kepada MRCB-George Kent".

Dia berkata bayaran terakhir kepada MRCB-George Kent dibuat Oktober tahun lalu bagi kerja setakat bulan itu, bertentangan dengan laporan yang memetik sumber mendakwa tuggakan bayaran merangkumi kerja sejak Julai.

"Apa penangguhan (bayaran) sehingga enam bulan?

"Mereka kata kita sekat bayaran, ini tak adil. Mereka (MRCB-George Kent) adalah kontraktor besar," katanya.

Tajuddin bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan laporan yang mendakwa bayaran Oktober itu berjumlah RM280 juta untuk kerja yang dilakukan antara Februari dan Jun.

Dengan mengambil kira kedudukan MRCB-George Kent sebagai kontraktor turnkey, dia berkata Prasarana menjangka syarikat itu mempunyai wang cukup untuk membayar subkontraktor mereka.

"Mereka tiada wang dan minta semua subkontraktor untuk merungut.

"Mereka patut ada modal yang cukup," katanya yang pada mulanya keberatan untuk bercakap tentang kewangan MRCB-George Kent.

"Tetapi seolah-olah kita bertindak adil terhadap mereka. Saya nak beritahu yang kita sudah bayar," katanya lagi.

"Kalau bayar semua, habislah'

Tajuddin juga mendakwa dia menerima aduan yang MRCB-Geoge Kent didakwa menangguhkan kontrak baru dengan subkontraktor setelah dilantik sebagai kontraktor turnkey.

Dia juga mendakwa beberapa kontrak baru ditandatangani pada nilai yang lebih rendah daripada apa yang dipersetujui dengan Prasarana.

Berkenaan kedudukan kewangan Prasarana, Tajuddin mendedahkan syarikat itu beroperasi dengan kekurangan dana sebanyak RM236 juta sebulan dan jumlah itu ditampung dengan dana semasa kira-kira RM2 bilion.

Selepas mengambil kira perbelanjaan modal dan operasi bulanan syarikat, Tajuddin berkata Prasarana hanya memiliki dana RM800 juta sementara menunggu suntikan modal kira-kira RM1.5 bilion daripada kerajaan yang diluluskan Parlimen sebelum ini.

"Hanya tinggal RM844 juta...Itu yang kita ada sekarang.

"Jika kita bayar semua (wang yang ada) kepada MRCB-George Kent, habislah," katanya lagi.

Tajuddin menegaskan dia hanya memberi nasihat kepada lembaga pengarah dan pengurusan Prasarana berdasarkan keadaan itu.

Projek LRT3 bermula pada Ogos 2015 dengan kos asal RM10 juta bagi menampung kira-kira dua juta pengguna di sepanjang laluan Bandar Utama-Johan Setia. Bagaimanapun jumlah itu kini meningkat kepada RM31.65 bilion.

Ia antara beberapa projek infrastruktur mega yang disemak semula ketika pentadbiran PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS