Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perbicaraan kes saman Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang sepatutnya bersambung hari ini ditangguhkan esok.

Ini selepas mahkamah diberitahu bahawa Tajuddin dan peguamnya perlu menghadiri sidang media Prasarana Malaysia Bhd pada jam 4 petang ini berhubung dakwaan cuba mempengaruhi keputusan syarikat.

Peguamnya Hasnal Rezua Merican memberitahu perkara tersebut kepada Hakim Latifah Mohd Tahar di dalam kamarnya.

Hasnal yang juga mewakili syarikat Prasarana perlu menghadiri sidang media tersebut.

Perbicaraan akan bersambung semula 11.30 pagi esok (Selasa).

Prosiding hari ini adalah bagi perbicaraan penuh kes saman berhubung dakwaan Tajuddin bahawa Khalid memanggilnya dengan istilah "sial" pada dua sidang media di lobi parlimen pada 21 dan 24 November 2016.

Istilah sial berkenaan diucapkan Khalid dalam Dewan Rakyat selepas Tajuddin menyebut Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh) satu-satunya ahli parlimen wanita yang mempunyai 'Kok'.

Khalid turut mendakwa Tajuddin menghina anggota parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Susulan itu, Tajuddin mencabar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam supaya mengulangi perkataan "sial" di luar Dewan Rakyat kepadanya.

Kes saman itu turut melibatkan dua pihak yang lain iaitu KiniTV Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Sebelum ini perbicaraan ditetapkan bermula hari ini sehingga 7 Januari ini (Khamis).

Namun, ia diminta tangguhkan hari ini susulan kontroversi baru melibatkan Tajuddin yang didakwa berusaha menamatkan kontrak Latitud 8 bernilai RM1.2 bilion bagi membolehkan Prasarana memainkan peranan lebih besar dalam projek pembinaan komersial pelbagai guna di stesen LRT Dang Wangi.

Ia susulan laporan The Edge yang mendakwa Tajuddin menggunakan kuasanya untuk melakukan perubahan dalam syarikat pengoperasi pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan ini.

Laporan itu turut menyatakan dokumen yang menunjukkan Prasarana menanggung kos RM80 juta untuk menamatkan Perjanjian Pembangunan Tanah (JLDA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS