Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan bahawa 143 dari 191 bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.
Menurut laporan FMT, Zahid mendakwa bahawa maklum balas itu dikumpulkan melalui kumpulan WhatsApp yang dianggotai semua pemimpin bahagian.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Rabu ini.
"Saya berharap keputusan yang akan dibuat nanti diterima sebagai keputusan parti kerana jika satu keputusan sudah dibuat, maka semua harus akur dan diikuti," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Semalam, Umno Johor menyatakan kesediaan mereka untuk memberi laluan kepada Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.
Keputusan itu bagaimanapun ditentang oleh Umno bahagian itu sendiri.
Sementara itu, pemimpin parti dari Melaka, Perak, Kelantan, dan Pahang, menyatakan hasrat untuk merebut kembali kerusi yang dipegang anggota Parlimen yang telah berpaling tadah kepada Bersatu.
Zahid hari ini menegaskan pendirian itu dengan mengatakan MT telah memutuskan untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada 2018.
Dalam pada itu, Umno Putrajaya pula menyuarakan pendirian berbeza, iaitu menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor juga berharap hubungan Umno dan Bersatu dapat diperbaiki.
“Presiden sebut oleh kerana akar umbi telah sebut tetapi saya berkeyakinan jika Presiden dan Majlis Tertinggi duduk bersama-sama dengan biro politik, kita boleh perbaiki keadaan untuk beri satu kesinambungan kerana saya berharap Bersatu dan Umno satu hari nanti bercantum balik,” katanya seperti dipetik Bernama.
“Saya amat hairan yang menyuarakan masalah-masalah ini (tidak sokong) adalah orang-orang yang kalah bukan yang menang (pilihan raya), jadi saya harap jangan keruhkan situasi,” katanya lagi.
Umno sebelum ini beberapa kali mengancam untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu.
Akan tetapi, satu pertimbangan serius bagi Umno ialah apakah ia dapat mengekalkan sokongan dari PAS.
Umno dan PAS telah menandatangani piagam untuk memeterai perjanjian Muafakat Nasional (MN) yang dibuat September 2019.
Namun selepas perubahan kerajaan, PAS dilihat lebih cenderung kepada Bersatu dan kini menjadi anggota PN.
Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang merupakan salah seorang 'panglima' Zahid, semalam membidas PAS kerana menyertai PN tanpa persetujuan Umno.
Namun, PAS nampaknya tetap bersikap berkecuali dalam pertengkaran Umno-Bersatu, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Selain Tengku Adnan, naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob juga nampaknya lebih mesra terhadap Bersatu.
"Saya difahamkan setakat ini, rundingan kerusi masih lagi dilakukan kerana kita cuba mengelak pertembungan antara UMNO, PAS dan Bersatu dan saya percaya perbincangan akan dilakukan dengan sebaik mungkin," katanya seperti dipetik Bernama.
Ismail adalah salah seorang daripada empat menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin. Pelantikan empat menteri kanan adalah kompromi untuk mengelakkan pelantikan seorang timbalan perdana menteri.