Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Malaysia Plus World Icon tetap diadakan meskipun dibantah
Diterbitkan:  Jan 3, 2021 8:52 AM
Dikemaskini: 5:28 AM

Meskipun dibantah pelbagai pihak, penganjuran Malaysia Plus World Icon (MPWI) 2020 tetap diadakan malam tadi di sebuah hotel di ibu negara.

Penganjuran pertandingan ratu cantik yang diadakan dengan objektif membina kesedaran terhadap perlecehan fizikal (body shaming) dan buli ini juga berlangsung dengan meriah.

Ini dapat dilihat apabila hadirin menyanyi dan bersorak dari awal sesi pembukaan majlis yang menampilkan kesemua barisan finalis.

Acara yang dianjurkan di Putrajaya itu menyaksikan Melissa Mohan Tyndall dinobatkan sebagai pemenang, menewaskan 21 peserta lain.

Guru tadika dan usahawan berusia 38 tahun, Shakti Chhabra pula diumumkan sebagai Miss Plus Intercontinental Malaysia 2020. 

Manakala seorang finalis beragama Islam, Jastina Mohd Junus memenangi gelaran Duta Kemanusiaan MPWI 2020.

Pertandingan itu juga kelihatan seperti pertandingan peragaan biasa berbanding pertandingan ratu cantik seperti Miss Universe yang memerlukan setiap pesertanya berbikini serta berpakaian seksi.

Para pesertanya tampil memperagakan busana tradisional negeri masing-masing selain koleksi pakaian penaja.

Hadirin juga mengenakan pakaian formal dan kasual serta di tempatkan di hadapan sebuah pentas sambil menikmati hidangan yang disediakan.

Walaupun majlis boleh dikatakan berlangsung secara aman, namun turut kelihatan beberapa anggota keselamatan sebaik sahaja pertandingan bermula.

Bagaimanapun, difahamkan kehadiran anggota keselamatan itu sekadar membuat tinjauan.

Untuk rekod, ini adalah kali pertama MPWI 2020 diadakan di negara ini.

Seramai 24 finalis layak mara ke peringkat akhir dengan 10 daripadanya merupakan peserta Muslim.

Dua daripada finalis menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

MPWI 2020 dalam satu kenyataan sebelum ini berkata acara berkenaan adalah untuk meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan dan keyakinan wanita bersaiz besar.

Penganjur juga berkata acara itu tidak menampilkan pertunjukan bikini atau pakaian renang.

Terdahulu, PAS dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah penganjuran program tersebut kerana disifatkan sebagai program tidak bermanfaat dan berunsur kemaksiatan.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam menegaskan penganjur perlu mematuhi janji sepertimana yang telah dipersetujui.

Nasrudin berkata, Jabatan Agama Islam (Jakim) telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada 31 Disember lalu, sebelum mencapai beberapa kata sepakat.

Antara keputusan yang dicapai ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS