Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Johor harap HSR diteruskan meski tak libatkan Singapura

Kerajaan Johor berharap agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan penamatannya semalam, tetap diteruskan meskipun jajaran baru tidak melibatkan Singapura.

Menteri Besar Hasni Mohammad berkata keputusan penamatan itu turut memberi peluang kepada kerajaan persekutuan untuk meneliti semula pulangan pelaburan projek tersebut kepada negara.

Dia juga yakin kerajaan mempunyai perancangan lebih baik untuk Johor berikutan lebih 300 kilometer daripada jajaran asal HSR meliputi negeri tersebut yang akan turut menerima impak langsung manfaat pembangunannya.

“Antara perkara yang kita (Johor) harapkan adalah agar HSR dapat diteruskan walaupun tidak melibatkan Singapura. Saya percaya ia boleh memberi pulangan langsung kepada ekonomi negara dan Johor, lebih-lebih lagi apabila siapnya projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link).

“Apabila kita merancang untuk membina HSR, mungkin pertimbangan mengenai kewujudannya belum jelas dan ini adalah peluang untuk melihat semula perancangan HSR sama ada bersendirian dan Malaysia menyusun (semula) pembangunan industri rel,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di Johor Bahru, hari ini.

Hasni yang juga Adun Benut berkata, ini termasuk melihat semula penggunaan Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Puteri yang boleh ditukar kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan melengkapkan sistem perhubungan rel di Johor.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak menolak penglibatan Singapura dalam aspek pelaburan meskipun jajaran baru HSR tidak melibatkan republik itu kerana usaha tersebut turut memberi manfaat kepada rakyatnya di Malaysia.

Pada masa sama, Hasni juga berharap agar kerajaan Johor turut dilibatkan dalam perbincangan baru projek itu bagi mengambil kira kepentingan rakyat negeri itu.

"Kita berharap sebarang perbincangan baru akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat serta limpahan daripada pelaksanaannya," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed berkata satu kajian terperinci akan dijalankan yang meliputi semua aspek termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS