Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan moratorium pinjaman sewa beli kenderaan mempunyai pelbagai syarat yang merumitkan dan menggesa kerajaan memperbetulkannya.
Anwar berkata, syarat-syarat tersebut tidak membantu rakyat yang masih terhimpit dengan kesan wabak Covid-19.
"Saya dapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat. Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak Covid-19.
"Sebagai kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah, adalah tidak wajar perkara sebegini dipandang enteng dan diambil mudah.
"Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan (Tengku Zafrul Abdul Aziz) untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar tidak memperincikan kerumitan yang dimaksudkannya dalam kenyataan tersebut.
Selepas tamatnya moratorium pinjaman pada 30 Sept lalu, ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menggesa ia dilanjutkan ketika perbahasan Belanjawan 2021.
Bagaimanapun, kerajaan hanya setuju untuk melanjutkannya kepada golongan B40 dan M40 dan mereka membuat permohonan untuk mendapatkannya.
Sementara itu, Anwar turut menggesa kerajaan memberi penjelasan terperinci berkenaan pampasan yang perlu dibayar kerajaan akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
"Ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi buruk kepada negara dan akan menanam ketidakyakinan kepada negara-negara luar untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.
"Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap," katanya lagi.
Setakat ini, kerajaan masih belum memberi sebarang makluman berkenaan pampasan yang ditanggung atas pembatalan projek itu.
Bagaimanapun The Edge Markets sebelum ini melaporkan yang penamatan itu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos kira-kira RM300 juta.