Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pihak berkuasa perlu dedah parti politik didakwa terbabit kartel daging'
Diterbitkan:  Jan 1, 2021 10:35 PM
Dikemaskini: 2:35 PM

Dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bahawa ada parti politik di negara ini yang terbabit dalam isu kartel daging import wajar diberi perhatian serius dan didedahkan kepada umum, kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.

"Ini perkara serius yang tidak boleh diambil mudah. Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mendedahkan kepada umum parti politik mana yang terbabit dengan kartel daging haram ini.

"Saya difahamkan berdasarkan laporan polis yang dibuat JMM, parti politik itu juga terbabit dalam usaha menjatuhkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC)," katanya dalam kenyataan hari ini.

JMM yang membuat laporan polis berkenaan dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 29 Dis lalu.

Presidennya Hamdan Mohd Salleh mendakwa parti politik tersebut juga terbabit dalam usaha menjatuhkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Mustafa berkata lagi, isu tersebut bukan soal politik tetapi membabitkan halal haram makanan untuk orang Islam.

"Jika benar ada parti politik terbabit kita nak tahu parti mana, bagaimana pembabitan mereka dan paling penting kepada mereka berbuat demikian," katanya.

Awal bulan ini media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Pada 30 Dis lalu, syarikat pembekal daging Raihanah Cold Storage Sdn Bhd dan dua pengarahnya didakwa mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, atas kesalahan menggunakan logo halal tanpa diperakui pihak berkuasa .

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS