Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Loke 'sepakat' tuntut Putrajaya telus dalam isu HSR
Diterbitkan:  Jan 1, 2021 7:39 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Berbeza parti dan selalu berseteru, tetapi dalam isu Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) hari ini 'mempertemukan' Najib Razak dengan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dalam satu persetujuan.

Loke dalam satu kenyataan berkata kerajaan perlu bersikap telus mengenai pampasan yang akan dibayarkan kepada Singapura ekoran pembatalan perjanjian dengan negara itu.

Najib yang juga bekas perdana menteri pula menuntut Putrajaya mengemukakan cadangan baru bagi menggantikan projek HSR berkenaan.

"Kerajaan Malaysia mesti mengambil tindakan telus dalam perkara ini dan mengumumkan kepada rakyat jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada pihak Singapura dan jumlah keseluruhan kos yang telah dibelanjakan oleh Syarikat MyHSR yang ditanggung oleh wang pembayar cukai sejak tahun 2016," kata Loke yang juga ahli parlimen Seremban.

Kerajaan Singapura dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan perjanjian dua hala HSR yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura ditamatkan.

Kementerian Pengangkutan Singapura berkata Malaysia ingin membuat perubahan pada landasan kereta api dan ini telah dibincangkan antara kerajaan kedua-dua negara yang akhirnya membawa keputusan untuk menamatkan perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, dan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin, bertemu melalui sidang video pada 2 Dis lalu untuk mengkaji semula status projek HSR, termasuk perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia dalam projek itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed pula berkata kesan penularan Covid-19 yang menjejaskan ekonomi menyebabkan perjanjian dua hala itu terpaksa ditamatkan pada 31 Dis lalu.

Menurut Mustapa, terma-terma perjanjian dua hala yang ditandatangani pada 2016 tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan teruk kepada ekonomi, sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Tak boleh sembunyi maklumat

The Edge Markets sebelum ini melaporkan yang penamatan itu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos kira-kira RM300 juta.

Najib berkata kerajaan perlu tampil memberi penjelasannya sendiri.

"Kerajaan PN patut telus dalam isu ini tanpa menggunakan alasan ekonomi atau Covid-19 sebab beberapa media dalam dan luar negara sudah melaporkan banyak maklumat dari sumber dalaman berhubung halatuju projek ini," katanya di Facebook.

Bekas presiden Umno itu juga bertanya apakah HSR Kuala Lumpur-Johor Bahru sudah dirancang untuk menggantikan HSR Kuala Lumpur-Singapura dan apakah penggantian itu bakal diumumkan dalam tempoh tiga bulan .

Turut dibangkitkan, adakah pembekal teknologi dan syarikat operasi swasta yang sering dikatakan kroni perdana menteri keempat dan ketujuh sudahpun dipilih tanpa tender seperti didakwa media.

Soal Najib lagi, memandangkan jumlah penumpang dan pendapatan syarikat operator akan jauh berkurang jika ditukar dari Kuala Lumpur-Singapura ke Kuala Lumpur-Johor Bahru, adakah kerajaan akan menampung kerugian atau membayar pampasan tahunan syarikat operator swasta.

Sementara itu, dalam hantaran lain Najib turut menyatakan rasa kesalnya berhubung pembatalan projek itu.

Selain itu, Loke berkata semua kos yang dibayar kepada pihak Singapura susulan penangguhan projek HSR dan RTS perlu diumumkan secara telus.

Oleh itu katanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak boleh menyembunyikan sebarang maklumat tersebut.

Katanya, ini kerana jajaran Kuala Lumpur-Johor Bharu sudah mempunyai landasan kereta api.

"Projek yang sedang dilaksanakan ialah membina landasan berkembar di antara Gemas ke Johor Bahru yang melibatkan kos sebanyak RM10 billion. Projek ini dijangka siap pada 2022," katanya.

Kata Loke, apabila landasan berkembar itu disiapkan, ia bermaksud landasan berkembar sedia ada ialah di antara Padang Besar di utara menyambung terus ke Johor Bahru di selatan.

"Perkhidmatan ETS yang dikendalikan oleh KTMB akan ditawarkan kepada orang ramai.

"Walaupun ETS tidak secepat HSR, namun pada hemat saya ia memadai untuk perkhidmatan domestik. Kerajaan cuma perlu memperuntukkan tren yang secukupnya untuk menambah kekerapan perkhidmatan," katanya.

Tambahnya, ekoran pembatalan projek HSR itu kerajaan perlu memberikan tumpuan untuk menyiapkan projek sedia ada dalam kadar segera dan menambah kapasiti KTMB dalam pengendalian kargo melalui tren serta projek-projek pengangkutan awam yang lain seperti MRT 3 di Lembah Klang, BRT di Johor Bahru dan sebagainya.

Kesatuan Pekerja KTM dalam satu kenyataan ringkas, mengumumkan sokongan terhadap kenyataan Loke.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS