Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pandangan Chin Huat: Dr M nak jadi PM ke akhir hayat

Tahun 2020 merupakan tahun berantakan buat negara, mungkin yang paling teruk sejak 1960-an - dekad penuh peristiwa seperti konfrontasi dengan Indonesia, pemisahan Singapura, pemberontakan Komunis, serta rusuhan 13 Mei.

Dalam siri perbualan dengan penganalisis politik Wong Chin Huat, dia menyingkap kacau-bilau yang berlaku dalam politik negara sepanjang tahun lepas, seputar kejatuhan PH, dan watak-watak penting di belakangnya - Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Bagaimana tahun yang begitu menjanjikan berakhir dengan kekeliruan dan ketidaktentuan?

Apabila sejarawan masa hadapan melihat kembali 2020, mereka akan melihat kerajaan PH yang dilihat sebagai reformis ditumbang dan digantikan dengan pentadbiran Perikatan Nasional yang bukannya dipilih pengundi.

Ramai yang melihat Mahathir sebagai mangsa tetapi ada juga pemerhati yang mendakwa bekas perdana menteri itu memainkan peranan dalam kejatuhan PH.

Ia berdasarkan hujah yang Mahathir ingin menubuhkan kerajaan perpaduan yang membolehkannya memimpin sehingga habis penggal, terlepas daripada perjanjian menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Wong berkata, pendedahan oleh ahli politik dari Bersatu seperti Azmin Ali dan Wan Saiful Wan Jan, ditambah pula dengan penolakan Mahathir terhadap Anwar sebagai perdana menteri mahupun sebagai timbalan perdana menterinya, memberikan gambaran sedemikian.

Pada pandangan Wong, Mahathir memberikan persetujuan terhadap bibit awal gerakan Langkah Sheraton, namun versi Mahathir, katanya, ibarat “versi turbo” terhadap kaedah yang dibuatnya sebelum itu iaitu dengan menarik ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu.

Wing Chin Huat

“Perbezaan utamanya, ahli-ahli yang melompat (kali ini) boleh menyertai kerajaannya sebagai ahli bebas jika tak mahu masuk Bersatu.

“Apa yang jelas, tujuan akhirnya adalah ‘kerajaan perpaduan tanpa parti’, yang mana dia akan menjadi satu-satunya calon perdana menteri yang diterima dan melantik menteri-menteri yang akan bertanggungjawab kepadanya, bukan parti-parti mereka.

“Pendek kata, dia boleh memerintah seperti presiden yang bebas melantik ahli kabinetnya,” kata Wong.

Bagi Wong, Mahathir tidak percaya ada orang lain yang mampu mengambil alih pentadbiran negara, bukan sekadar mahu menyekat Anwar.

Dorongan terkuat Mahathir, katanya lagi, adalah untuk menjadi perdana menteri sehingga akhir hayatnya kerana dia benar-benar percaya Malaysia perlukan kepimpinannya.

“Saya tak rasa Mahathir dapat melihat sesiapa yang baginya cukup bijak dan disenanginya yang dia boleh beri kepercayaan untuk menyerahkan kuasa."

Meskipun mentadbir negara pada era kemakmuran 1980-an dan 1990-an, Mahathir tidak terlepas daripada kontroversi menekan kebebasan media dan kebebasan badan kehakiman, serta memenjarakan seteru politiknya.

Kepulangannya sebagai perdana menteri pada 2018 sepatutnya membuka era baru keterbukaan, demokrasi dan kemakmuran, namun kemelut dengan Anwar berhubung penyerahan kuasa telah mencetuskan krisis politik yang tak berkesudahan sehingga ke hari ini.

“Mahathir merupakan karma kolektif rakyat Malaysia. Kerana perpecahan kita, pencalonannya (Mahathir) sebagai perdana menteri menjadi satu keperluan untuk PH menang pada 2018,” kata Wong yang membayangkan jika kerajaan perpaduan Mahathir menjadi nyata pada Februari lalu, dia tidak akan berundur atau melantik pengganti yang jelas.

“[...] Jadi disebabkan Mahathir ada masalah persaraan, Malaysia pun ada masalah pengganti kepemimpinan.

“Harapnya tak ada orang yang akan mengetuai pembangkang atau kerajaan sebagai proksi Mahathir,” katanya lagi.

Wong melihat kegagalan Mahathir untuk menjadi "perdana menteri kekal" Malaysia pada 2020, tahun yang dahulunya merupakan simbol visinya, adalah sebuah keadilan setimpal (poetic justice).

PH kesuntukan masa

Sedekad dipenjarakan, kemudian cuba membawa nada berbilang kaum dalam naratif politiknya, sebelum diperdaya daripada janji menjadi perdana menteri - Anwar layak mendapat sedikit simpati.

Tetapi mutakhir ini sahamnya kian merudum, terutama setelah gagal membuktikan sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan yang didakwa dimilikinya.

Bukan saja Anwar seperti telah ditipu oleh Umno - dua kali - bahkan dia tampak rela bekerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak, selain kegagalannya menguruskan krisis dalaman PKR turut mencalarkan reputasinya.

Adakah masa Anwar sudah berakhir?

“Anwar terlalu bijak untuk saya percaya yang dia diperdaya Umno. Dia buat drama sebegitu kerana itulah satu-satunya cara untuk memikat pemberontak di dalam Umno untuk berpaling tadah.

“Dia seperti katak yang menunggu dicium oleh puteri, supaya dia dapat berubah menjadi seorang putera.

"Tapi puteri-puteri yang dipikatnya, semuanya mahu dia jadi putera dahulu, sebelum mahu menciumnya. Itulah dilema Anwar," kata Wong.

Katanya, Anwar perlu terlebih dahulu membina semula PH dan satu gabungan besar dengan menubuhkan kabinet bayangan.

“Peluang Anwar lebih cerah untuk tampil sebagai bakal perdana menteri, malah untuk memikat pemberontak Umno, dengan mempengerusikan mesyuarat kabinet bayangan mingguan, berbanding mengulang dakwaan sokongan dimilikinya seperti pakcik yang beratur di Magnum (kedai nombor ekor), sambil menggumam nombornya akan kena esok."

Tambahnya, PH perlu segera disusun semula sebagai “jentera polisi yang berkesan”, yang memberi tumpuan untuk memajukan kesejahteraan orang Melayu dengan polisi yang difikirkan sedalamnya, berkesan, mampan, dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

Malah, untuk kembali berkuasa, PH katanya perlu bekerjasama dengan “satu atau lebih parti Melayu”.

"Jika PH tidak dapat mengatasi rasa tidak percaya orang Melayu, ia akan berdepan kekalahan di banyak kawasan majoriti Melayu, dan pada masa sama akan ditolak di kawasan bandar jika tidak tampil dengan polisi yang lebih koheren."

Katanya, PH perlu mencari jalan untuk mengatasi dua cabaran tersebut secara holistik, bukan menumpukan salah satu dengan mengorbankan yang lain.

Katanya lagi, PH sepatutnya menawarkan belanjawan bayanngan tahun ini serta mula merangka manifesto yang berbeza daripada Buku Harapan - dan ia boleh dilakukan dengan mudah jika PH ada kabinet bayangan.

"Tetapi Anwar nampaknya tidak berminat dan ada ahli Parlimen PH yang cuba memberi alasan kerana tidak melakukannya.

“[...] mungkin kerana dia mahu bebas menawarkan apa-apa jawatan menteri kepada pemberontak Umno dan dia tak kisah sangat tentang polisi alternatif selepas jadi perdana menteri."

Tambahnya lagi, obsesi Anwar terhadap jawatan perdana menteri yang mengatasi segala-galanya itu mungkin menyebabkan impiannya semakin sukar dicapai.

Penjajaran semula sedang berlaku

Akhir sekali, Wong turut mengongsikan pendapatnya terhadap pembangkang era Reformasi yang kini berpaling daripada Anwar untuk memihak kepada Mahathir, dan dengan itu mencemarkan reputasi mereka sendiri.

Katanya, apa yang rakyat dapat daripada Anwar, Azmin, bahkan Mahathir, adalah hasil daripada struktur politik dan realiti sosiopolitik negara.

Katanya, penentang Anwar harus ingat bahawa kelompongan strukturlah - daripada pemilihan perwakilan dari atas ke bawah, hinggalah ketiadaan kabinet bayangan - yang memungkinkan atau menguatkan kepemimpinan peribadi Anwar.

“Penjajaran semula politik Malaysia dan PH sedang berjalan. Sesetengah parti yang kita lihat hari ini mungkin tak ada lagi lima tahun akan datang.

“Apa yang patut kita minta dalam penjajaran semula ini, adalah lahirnya parti-parti yang kuat dan berbeza - dari aspek polisi dan ideologi, bukan personaliti dan rangkaian naungan, supaya rakyat ada pilihan sebenar dan boleh mendapat manfaat daripada persaingan antara parti."

Dalam membina gabungan politik, kata Wong, apa yang lebih penting daripada bilangan parti dan ahli Parlimen adalah polisi yang koheren.

“Parti-parti gabungan tak perlu ada polisi yang sama, tapi mereka mesti berbincang untuk menghasilkan polisi bersama supaya orang tahu apa yang boleh dijangkakan jika mereka menjadi kerajaan.

“Agak menyedihkan apabila ahli politik kita hanya berminat (untuk mendapat) jawatan menteri, bukannya terhadap polisi. Menyedihkan juga apabila perdana menteri bayangan takut untuk mempunyai menteri bayangan di sisinya,” kata Wong.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS