Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi.
Bagaimanapun berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad hari ini penagguhan tersebut hanya diberikan kepada peminjam yang layak.
Kata Noraini kerajaan sedar terdapat peminjam yang masih terkesan dengan wabak Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman masing-masing.
Bagaimanapun butiran lanjut mengenai syarat dan kelonggaran itu belum diberikan PTPTN.
“Butiran berkenaan pelaksanaan lanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman itu akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya yang juga berharap ia dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam.
Noraini menambah peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Jan hingga 31 Mac ini dan tempoh penangguhan berkenaan akan bermula dari tarikh ia diluluskan.
Sebelum ini, penangguhan bayaran balik PTPTN diberikan kepada semua peminjam mulai 19 Mac hingga 31 Dis 2020. Ia diberikan sebagai langkah mengurangkan beban ditanggung peminjam akibat kesan wabak Covid-19.
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN itu dilaporkan memberi manfaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah anggaran keseluruhan penangguhan berjumlah RM1.13 bilion, iaitu bagi tempoh Mac hingga Disember lalu.
Noraini turut meminta peminjam yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut untuk menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.