Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerakyatan Melayu untuk semua kaum: 'Fikir dulu' - Ku Li

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah meminta agar cadangan untuk memberikan kerakyatan Melayu kepada semua kaum tidak ditolak mentah-metah.

Katanya, cadangan yang diperjuangkan tokoh politik kiri Dr Burhanuddin al-Helmy sebelum kemerdekaan itu dapat meleraikan pergeseran kaum akibat perbezaan keturunan.

“Ini semuanya adalah cadangan untuk kita fikir dan timbang. Selama mana kita nak duduk, tuduh-menuduh antara satu dengan yang lain?

“Suka tak suka, orang keturunan Melayu, keturunan Cina, keturunan India, keturunan Dayak, keturunan Kadazan, menjadi sebahagian daripada rakyat di sini, jadi kita kena hidup bersama.

“Takkanlah kita nak pertikai soal keturunan orang itu, keturunan orang ini berbeza daripada saya?

“[...] Janganlah menolak awal-awal lagi. Fikirlah dulu,” kata pengerusi Lembaga Penasihat Umno dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Isnin.

Tengku Razaleigh Hamzah 

Tengku Razaleigh menyuarakan agar idea itu dihidupkan semula minggu lalu.

Namun ia berdepan kritikan di media sosial, terutamanya berkenaan hak keistimewaan dan status bumiputera.

Cadangan kerakyatan Melayu untuk semua kaum itu terkandung dalam Perlembagaan Rakyat yang digagas oleh gabungan Putera-AMCJA.

Burhanuddin, pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) - parti politik Melayu pertama selepas perang dunia kedua yang menuntut kemerdekaan - menubuhkan gabungan sayap pertubuhan berideologi kiri, Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Dr Burhanuddin al-Helmy 

Gabungan Putera dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) menggagaskan Perlembagaan Rakyat pada 1947 yang mengandungi 10 prinsip teras bagi menggantikan Malayan Union yang menimbulkan kontroversi hebat di Tanah Melayu pada tahun 1946.

Prinsip keenam Perlembagaan Rakyat menggariskan bahawa: Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bagi.

Prinsip kesembilan pula berbunyi: Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

Kata Tengku Razaleigh, dia mencadangkan kerakyatan Melayu digunakan memandangkan orang Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Jadi, kalaulah ambil nama itu (Melayu) menjadi kerakyatan negara kita, (iaitu) Melayu tak kira dia keturunan apa, keturunan Cina ke, India ke, asalkan dia rakyat Malaysia, dia itu (diberi kerakyatan) Melayu, apa salahnya?

“Orang Cina dari negara China, orang India dari negara India. Kalau rakyat Melayu daripada Malaysia, apa salahnya?” katanya.

'Biar pakar kaji'

Pun begitu, tambahnya lagi, dia hanya memberikan cadangan, dan ia boleh dikaji lanjut oleh golongan pakar mengenai bagaimana ia dapat disesuaikan dengan perlembagaan, termasuk isu-isu hak keistimewaan bumiputera, adat, definisi Melayu dalam perlembagaan dan sebagainya.

Katanya, dia hanya mahu mengusulkan jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah kaum yang dapat diterima oleh semua pihak.

“Saya bukanlah ada kuasa nak menekan sesiapa. Ini cadangan yang dibawa dulu sebelum kita merdeka. Saya fikir, elok juga kita timbangkan.

“Kita banyak pakar sekarang ini yang boleh fikir semuanya ini.

“Saya dah cadangkan supaya kita timbang semula kalau boleh. Kalau tak boleh, tak apalah,” katanya lagi.

Perlembagaan Rakyat terkubur apabila British mengharamkan pertubuhan-pertubuhan dalam Putera-AMCJA ketika mengisytiharkan darurat 1948.

Perlembagaan Persekutuan yang digubal hari ini dirangka Suruhanjaya Perlembagaan Reid bersempena nama pengerusinya hakim Mahkamah Rayuan England Lord William Reid.

Perlembagaan ini kemudian diterima Parlimen British pada Jun 1957 dan berkuat kuasa secara rasminya pada 31 Ogos iaitu selepas kemerdekaan.

Perlembagaan itu kemudian dipinda menjadi Perlembagaan Malaysia apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak lalu membentuk Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS