mk-logo
Berita
Pertikaian ungka: Perhilitan, pusat pemulihan perlu kerjasama - NGO
Diterbitkan:  Dec 31, 2020 8:28 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Projek Pemulihan Ungka (Grep) mesti bekerjasama untuk penyelesaian jangka panjang supaya berjaya dalam melestarikan haiwan terancam itu, kata Persatuan Primatologi Malaysia.

NGO itu berkata demikian selepas Perhilitan menyerbu pusat pemulihan ungka Grep di Pahang semalam dan merampas empat ekor haiwan berkenaan.

Serbuan selama 10 jam itu dilakukan ketika kes mahkamah sedang berlangsung antara pengasas Grep, Mariani Ramli dan Perhilitan.

Pada 2016, Mariani membawa Perhilitan ke mahkamah atas tuntutan pemecatan yang tidak adil.

Dia mencabar pemberhentiannya dan perintah Perhilitan supaya dia mengembalikan enam ekor ungka yang diletakkan di bawah jagaannya semasa dia bekerja di bawah jabatan itu.

Walaupun Mariani menang kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan pula memutuskan dia tidak memiliki izin untuk menjaga ungka berkenaan, yang menyebabkan serbuan semalam.

Perhilitan bertegas pihaknya tidak memerlukan waran untuk melakukan serbuan itu setelah Mariani meminta petugas hidupan liar menunjukkannya.

Petugas akhirnya membatalkan serbuan itu setelah mereka gagal memujuk semua ungka memasuki kandang mereka.

"Kami mendesak kedua-dua pihak untuk meletakkan kesejahteraan ungka tersebut di atas segalanya dan melakukan yang terbaik untuk primat yang terancam ini sementara masalah undang-undang ditangani dan bekerjasama secara konstruktif bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk kejayaan pemulihan haiwan ini," kata NGO itu dalam satu kenyataan semalam.

Menurut NGO itu, Malaysia mempunyai lima spesies ungka terancam kerana penebangan hutan dan pemburuan, serta menjadi mangsa perdagangan haiwan peliharaan haram.

"Anak haiwan muda yang ditangkap untuk perdagangan haiwan peliharaan dirampas secara paksa daripada ibu bapa mereka untuk dijual di pasar gelap. Banyak haiwan mati dalam proses itu.

"Beberapa yang selamat sering disimpan dalam keadaan mengerikan, diikat atau disimpan di kandang kecil dengan makanan yang tidak sesuai atau tidak mencukupi," katanya.

Menyedari ungka tidak sesuai sebagai haiwan peliharaan, pemilik biasanya melepaskannya kembali ke hutan, kata Persatuan Primatologi Malaysia.

Jelasnya, ungka yang dilepaskan tidak dapat bertahan hidup di alam liar kerana mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS