Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Agensi kerajaan mula bersihkan Mersing
Diterbitkan:  Dec 30, 2020 4:33 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Daerah Mersing yang dikenali ramai, kerana keindahan pulau dan pantainya yang menawarkan pemandangan mempesona sehingga menarik ribuan pelancong terutama pelancong luar negara setiap masa, dilihat tercalar berikutan sikap segelintir penduduk dan pengunjung yang tidak menjaga kebersihan.

Justeru, harapan rata-rata penduduk yang ditemui mahu imej bersih dan cantik kembali ke daerah berkenaan dan mengharapkan agar sikap menjaga kebersihan jadi amalan dan terus tertanam di diri masing-masing.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menzahirkan kemurkaan dan kekecewaannya atas sikap segelintir masyarakat, yang mengabaikan aspek kebersihan sehingga tempat awam turut dipenuhi dengan sampah-sarap.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi tumpuan pelancong iaitu Taman Laut Sultan Iskandar dan sekitar Dataran Kembara hari ini mendapati, agensi berkaitan telah mengambil tindakan proaktif dengan membersihkan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, masih lagi kelihatan sampah-sarap seperti bekas makanan, botol minuman dan pelitup muka di bahu jalan, meskipun pihak berkuasa tempatan telah menyediakan kemudahan tong sampah.

Seorang penduduk yang ditemui Darina Azam berkata tanggungjawab menjaga kebersihan, bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pekerja pembersihan, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kebersihan dan keindahan daerah ini terpelihara.

“Saya sering membawa anak-anak berkunjung ke pantai untuk berkelah sambil menikmati sarapan. Oleh itu, memang selalu la nampak pekerja-pekerja kebersihan, menjalankan tugas mereka pada setiap pagi.

“Pada pandangan saya, apa yang perlu ditekankan adalah sikap itu sendiri. Tak bolehlah kita nak tuding jari kepada mana-mana pihak, sama ada yang buat sampah ni adalah penduduk atau pun pelancong luar kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” kata ibu kepada dua anak itu.

Sementara itu, Daliza Dason, 36, berkata dia berasa kecewa apabila nama Mersing menjadi bualan masyarakat di seluruh negara, rentetan isu sampah.

“Memandangkan sekarang ni dah boleh rentas negeri dan musim cuti sekolah, jadi kita tak bolehlah buat kesimpulan bahawa sampah itu datang daripada penduduk Mersing, mungkin juga dari pelancong luar.

“Selain itu, sampah yang di tepi laut, mungkin dibawa arus entah sampah dari mana, saya sendiri pernah menyertai sukarelawan 'Trash Hero Malaysia', rasa sedih apabila terjumpa jarum yang telah digunakan,” katanya yang bertugas sebagai guru di daerah ini.

Selain itu, dia bersetuju dengan saranan baginda agar penduduk Mersing seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada pelancong luar, dengan membudayakan amalan kebersihan di semua tempat sekali gus membersihkan kembali imej dan reputasi daerah pelancongan ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS