Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sekatan longgar tak bermaksud SOP boleh diabaikan'
Diterbitkan:  Dec 28, 2020 5:22 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19, meskipun kini sekatan pergerakan dilonggarkan di bawah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood menegur orang ramai yang mengabaikan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) ketika bilangan kes positif di negara kian meningkat.

“Sila maklum, kita masih berdepan dengan pandemik. Kes (positif di negara) kita masih lagi tinggi.

“Pemulihan ekonomi adalah penting untuk rakyat tetapi kita semua mesti memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi SOP.

“Hanya kerana sesetengah sekatan dilonggarkan, tidak bermaksud anda boleh abaikan SOP,” ciapnya di Twitter hari ini.

Susulan sekatan perjalanan yang dilonggarkan oleh kerajaan, beberapa kawasan pelancongan menjadi tumpuan orang ramai sejak akhir-akhir, yang dikhuatiri akan melonjakkan kes positif Covid-19 sehingga sukar dikawal.

Jemilah mengingatkan semula bahawa tindak tanduk orang ramai boleh menyebabkan penyebaran wabak atau sebaliknya.

“Jadi lakukanlah (aktiviti) bersiar-siar, berlari, berbasikal dan aktiviti bersama keluarga di luar.

“(Aktiviti seperti) majlis keramaian boleh tunggu dulu supaya kita dapat meraikan tahun baru dengan selamat. Ini adalah ‘normal’ yang kita perlu amalkan sekarang,” katanya.

Dia turut mengulangi saranan KKM seperti kepentingan pemakaian pelitup muka, mengelak berada di tempat yang sempit dan sesak, menjaga penjarakan fizikal serta mengelakkan daripada bersentuhan sesama sendiri.

“Waktu untuk lebih bebas akan tiba tapi buat masa ini KKM dan semua barisan hadapan perlukan kita untuk mainkan peranan,” katanya.

Semalam, KKM merekodkan 1,196 kes baru positif Covid-19 di seluruh negara dengan Selangor terus mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 392 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 202 kes dan Johor sebanyak 194 kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS