Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebelum politikus bercakap tentang grand coalation (gabungan besar) ini, kita ada mendengar idea tentang PH Plus.

Sebelum itu juga saya lebih awal telah membawa pandangan yang lebih kurang sama namun lebih spesifik (tak berlapik) dan tidak popular dalam tulisan saya mengenai desakan untuk mengetengahkan pendekatan baru menerusi pimpinan muda atau baru dalam barisan kepimpinan parti khususnya PH.

Dalam konteks politik parti dan kuasa, parti harus mengekalkan status kekal releven dalam arus politik massa. Sama ada perkara lama atau orang lama perlu kitar kembali agenda atau penampilannya atau mengetengahkan langsung wakil atau barisan baru untuk mereka terus kekal releven atau menjadi pilihan rakyat.

Tak dapat elak baik Umno, Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Untuk kekal releven dan menjadi pilihan rakyat, ia memerlukan satu proses. Proses ini ada kita panggil naratif, ada kita panggil modus operandi, ada yang panggil prosedur dan yang popular sekarang kita ketahui dengan nama prosedur operasi standard (SOP).

Dan ia tetap perkara yang sama dan semua perkara dalam politik memerlukan proses. Revolusi yang berlaku, juga terdapat proses sebelumnya, ia bukan terjadi tiba-tiba.

Perubahan atau penciptaan naratif baru tidak semestinya perlu mengikuti norma lama seperti menerusi perbincangan dan persetujuan antara parti gabungan. Namun ini tidak bermaksud konsep musyawarah itu diketepikan.

Maksud saya proses perbincangan itu harus melangkaui politik bendera parti.

Untuk meneroka kemungkinan kepada pendekatan baru, bendera atau ideologi parti harus diketepikan kerana bendera atau ideologi parti tidak membantu melicinkan sesuatu proses.

Lahir dari proses berlapis

Sebaliknya yang menyatukan pandangan dan usaha adalah objektif, bukan bendera parti.

Memang benar, hendak bertanding pilihan raya nanti memang kena pilih bendera parti, tetapi itu soal teknikal atau formaliti sebagai keperluan undang-undang. Bukan agenda, bukan objektif.

Sekalipun objektif dan muafakat selesai tetapi di kala itu masih sangkut dengan isu bendera, di sinilah kejujuran kita diuji sama ada kita mampu mendahulukan matlamat (rakyat dan negara) atau parti.

Kita perlu penyahkawalseliaan (deregulate) norma-norma politik lama yang berasaskan status quo parti atau pemimpin. Kerana ini menjadi sistem yang selama ini dan terbukti sistem atau proses ini gagal.

Mana-mana gabungan akan terperangkap dengan kabinet bayangan dan calon PM. Mengapa? Kerana kita masih mengekalkan proses atau modus operandi sama.

Maka kita akan terus berpusing-pusing dengan isu yang sama yang kita tahu ia tak akan membantu membawa apa-apa perubahan.

Jika kita meletakkan isu ini sebagai agenda utama, kita mungkin melakukan silap besar. Integriti tidak datang dari personaliti atau nama yang popular semata-mata, sebaliknya ia lahir daripada proses yang berlapis-lapis, yang telus dan yang terbuka, yang saya bincangkan ini.

Kita sebaliknya perlu meletakkan keyakinan kepada proses yang berintegriti ini. Dengan ayat yang lebih mudah, jika proses pendekatan baru ini berjaya, siapa pun yang akan dilantik menjadi PM selepas itu, pasti akan mempunyai integriti dan diterima rakyat.

Apabila diterima rakyat, maka isu popular atau tidak, tidak lagi timbul.

Lebih banyak pilihan

Jika kita lihat masalah ini dalam konteks ekonomi, apabila sebuah negara mengalami defisit belanjawan atau menghadapi kemelesetan ekonomi, negara akan fokus kepada perubahan dasar fiskal. Ia bertujuan memulihkan pendapatan negara menerusi penambahbaikan pendekatan atau sistem kutipan cukai.

Sistem-sistem yang sedia ada akan dikaji dan seterusnya pendekatan baru akan diperkenalkan. Ini lumrah.

Begitulah halnya dalam catan. Pelukis menggunakan bahan asas yang sedia ada iaitu warna, berus dan permukaan (dinding, kertas atau kanvas). Warna itu sebagai manusia/orang/komuniti; berus itulah cara, teknik atau skil; dan permukaan itulah arena massa.

Jika kita mahu suatu hasil yang terbaik, kenalilah warna, berus dan permukaan anda terlebih dahulu.

Maka dalam konteks politik kuasa, untuk terus releven, untuk menarik kembali atau mengekalkan sokongan dan menang, suatu perubahan pendekatan yang baru diperlukan.

Fahami kemahuan rakyat dan massa ketika ini dan proses lama perlu diperbaharui.

Proses politik yang berintegriti bukan saja akan membantu mempercepatkan proses perubahan, malah ia boleh membuka lebih banyak pilihan dan kemungkinan baru untuk kita ambil.

Tulisan saya ini tidak ditujukan kepada PH saja, tetapi juga untuk PN.


MAHDZIR IBRAHIM ialah seorang pelukis yang berada dalam labirin politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS