Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Untuk sebilangan negara di dunia, sosialisme telah digunakan sebagai satu kata penghinaan oleh ahli-ahli politik kanan.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat Presiden Donald Trump serta penyokongnya telah memperli bekas presiden Barrack Obama sebagai seorang yang mengikut prinsip “sosialisme” kerana dia memperjuangkan akses untuk penjagaan kesihatan bagi semua rakyat di AS.

Ahli-ahli akademik dan media juga secara umumnya tidak mencabar pemikiran ini malah menyebarkan pandangan serong dan tidak tepat mengenai sosialisme.

Pandangan negatif yang tidak berasas ini telah dipengaruhi secara besar oleh penggunaan perkataan ini oleh kediktatoran komunis seperti negara Kesatuan Soviet lama (USSR-Union of Soviet Socialist Republics).

Pada masa kini juga terdapat pelbagai sistem ideologi yang luas bagi parti-parti kiri yang berbeza. Kebanyakan mereka juga menggunakan istilah “sosialisme.”

Dari satu penjuru spektrum, akan dijumpai rejim-rejim tertutup bersifat autokrasi seperti Korea Utara dan negara yang ditadbir oleh satu parti politik seperti China dan Vietnam yang mendakwa menggunakan prinsip sosialisme tetapi mempunyai penglibatan besar dalam pembangunan pesat dan budaya penggunaan (konsumerisme) yang bersifat kapitalis.

Dalam masa sama, pada awal tahun 2000an ada gelombang kerajaan-kerajaan kiri di Latin Amerika dan pergerakan sosial demokrasi tradisional sedang mengalami kebangkitan semula yang boleh dilihat dengan kemenangan individu daripada golongan wanita, progresif dan muda seperti Perdana Menteri di New Zealand iaitu Jacinda Arden, Sanna Martin di Finland dan Mette Frederiksen di Denmark.

Tetapi di Malaysia, ideologi ini cuma melukut di pinggiran sejak pembangkang terutama gabungan kerjasama Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh melalui Barisan Sosialis Rakyat Malaya (kemudian Malaysia) pada 1958 telah dijejaskan secara signifikan.

Kerajaan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang digubal pada 1960 telah menahan dan memenjarakan ramai pemimpin Barisan Sosialis, termasuk ahli majlis tempatan yang diundi, Adun dan ahli parlimennya.

Kini, walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempunyai asas ideologi yang menyeluruh dan program-program yang tertumpu terhadap isu-isu penindasan, ahli-ahli PSM serta penyokong parti lebih dilihat sebagai aktivis buruh atau NGO.

Mereka ditanggapi bukan sebagai wakil sebuah pertubuhan yang berdaftar sebagai parti politik nasional.

Pada hujung minggu lepas, Kongres Am PSM yang ke-22 telah dianjurkan secara dalam talian.

'PSM ikhlas bantu rakyat'

PSM dikenali antaranya kerana kaitan personaliti seperti Dr Michael Jeyakumar Devaraj yang juga bekas ahli parlimen Sungai Siput selama dua penggal, Timbalan Pengerusi S Arutchelvan dan Setiausaha Agung A Sivarajan serta bekas pengerusi Dr Nasir Hashim yang sudah lama bersara dan bekas timbalan pengerusi M Saraswathy.

PSM juga mempunyai generasi aktivis pemuda yang baru seperti Ketua Pemuda Sosialis Nik Aziz Afiq (seorang calon yang tewas pada pilihan raya kecil di Semenyih, tahun lalu) dan KS Bawani.

Apa yang ketara, kebolehan PSM dalam mendorong penyertaan muka-muka baru untuk melibatkan diri bersama parti sosialis itu.

Sembilan ahli muda PSM diwawancara untuk mengetahui apakah faktor yang mendorong mereka untuk menyertai parti politik kiri seperti PSM.

Seperti kebanyakan individu, Vennusha Priyaa, 26 (gambar, atas) yang bekerja sebagai penganalisis perniagaan IT diperkenalkan kepada PSM semasa di universiti.

Dia berkata memang menjadi minatnya untuk menyumbang kepada masyarakat dan pernah terlibat dengan beberapa usaha amal kebajikan.

"Saya menyertai gerakan pelajar yang menyokong pendidikan percuma dan telah mendapat tahu bahawa kumpulan pelajar PSM merupakan kumpulan utama yang menerajui ini.

"Saya mendaftar sebagai ahli PSM secara rasmi pada tahun 2017,” kata Vennusha.

Yap Xin Yit, 20 (gambar, bawah) pula seorang pelajar universiti dan menyertai parti itu pada awal tahun ini.

Dia berkongsi kekagumannya dengan kerja-kerja akar umbi yang telah dijalankan oleh PSM.

“Saya mendaftar sebagai ahli kerana saya ingin melawan untuk masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia terutamanya orang kurang upaya (OKU) disebabkan isu-isu mereka telah diketepikan,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Yasin, 22, juga seorang pelajar universiti memberitahu mengapa dia tertarik untuk menyertai parti PSM.

“Kali pertama saya didorong kepada PSM ialah selepas menyertai satu program bagi ibu tunggal dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dianjurkan oleh PSM,” katanya.

Ahmad berkata dia mengormati ahli-ahli PSM berinteraksi dengan komuniti PPR tanpa sebarang usaha untuk mempengaruhi sesiapa dan ahli PSM hanya fokus untuk menyelesaikan isu-isu sosial dan ekonomi yang dihadapi komuniti tersebut.

Bagi Ain Zafirah Md Said, pengalaman dirinya mendorong dia mendaftar sebagai ahli PSM pada bulan Mac lalu.

Katanya, kesedaran politiknya timbul selepas ditahan selama tiga hari kerana komen yang dikongsinya di media sosial pada September 2019 telah dilaporkan kepada pihak polis.

“Penahanan tersebut telah meningkatkan kesedaran saya tentang isu-isu hak asasi manusia dan saya telah direalisasikan bahawa seorang rakyat biasa juga berkelayakan untuk memperjuangkan hak-hak asasi dalam cara yang lebih rasmi melalui parti.

“Melalui pengalaman saya sebagai seorang pekerja am, saya telah saksikan banyak insiden yang tidak adil oleh pihak majikan yang tidak membayar upah dan juga pihak penguasa yang sepatutnya melindungi orang tetapi menyalahgunakan jawatan mereka.

“Kebanyakan orang mengalami masalah ini tetapi memilih untuk melindungi emosinya dan berdiam serta tidak bertindak kerana kita berasa lemah dan tidak mempunyai keupayaan.

"Saya memilih untuk mendaftar sebagai ahli PSM kerana saya percaya bahawa parti ini lebih sanggup untuk mendengar isu dan bekerja keras untuk mempertahankan hak-hak rakyat, terutamanya dalam isu hak buruh, tanpa mengambil kira pangkat, bangsa atau agama,” kata Ain Zafirah.

Momok sosialisme cuci otak

Danial Hakeem Azman, 25, bekerja untuk NGO Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan, yang berjuang untuk pekerja perkhidmatan di premis kerajaan.

Golongan pekerja ini, kata Daniel telah terjejas haknya disebabkan pekerjaan mereka sudah disumberluarkan kepada kontraktor swasta.

Pekerja sektor ini termasuk pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan tukang kebun di hospital-hospital kerajaan.

Katanya lagi, pekerja ini tidak mendapat perlindungan pekerjaan yang mencukupi walaupun memainkan peranan penting semasa pandemik Covid-19.

Daniel berkata dia percaya struktur sosial disusun supaya bertentangan dengan sosialisme atas sebab-sebab tertentu.

“Media aliran utama telah dimonopolikan oleh dan untuk kepentingan kapitalis; ini termasuk tidak memberi atau membenarkan sebarang tempat untuk suara alternatif atau bercanggah yang boleh menjejaskan proses pengumpulan harta yang berlebihan.

“Sistem yang memberi keutamaan kepada kebaikan pada alam sekeliling (termasuk individu) berbanding dengan pengumpulan harta yang berlebihan akan berhadapan tindakan untuk mendiamkan perjuangan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan tersendiri," dakwanya.

Mereka yang mempunyai kepentingan sendiri ini, menurut Danial akan mengulang-ulang dan cuma memfokuskan contoh kegagalan eksperimen sosialisme untuk menunjuk kelemahan ideologi itu.

“Lingkaran negatif indoktrinasi yang telah disebarkan kepada umum juga menghasilkan sebuah masyarakat pengguna yang hanya akan terdedah pada media pengaruh kapitalis, yang akan sentiasa menyebarkan penipuan mengenai sosialisme.

“Tetapi pada pendapat saya, pekerja sedar bahawa mereka menghadapi eksploitasi, mereka juga tahu bahawa golongan elit tidak mementingkan kebajikan mereka dan mereka juga tahu bahawa hasil kerja mereka tidak akan dinikmati oleh mereka.

"Hak-hak pekerja semakin merosot namun demikian mereka takut untuk meneroka alternatif kepada kapitalisme,” katanya.

Gandipan Nathan Gopalan (gambar, atas), berumur 24 tahun dan memiliki kerjaya sebagai ahli sains alam sekitar.

Dia yang menyertai PSM pada 2017 berkata propaganda antisosialisme tertanam di beberapa kawasan di dunia semasa era Perang Dingin.

“Negara-negara Barat dengan negara sekutu mereka telah menggunakan media untuk menyebarkan propaganda untuk menghalalkan serangan mereka terhadap negara-negara berhaluan kiri.

"Strategi ini masih diguna pakai pada masa kini di mana kami boleh melihat serangan berterusan terhadap negara-negara seperti Cuba, Venezuela serta pembunuhan watak terhadap pemimpin sosialis seperti bekas Presiden Brazil Lula Da Silva, bekas ketua parti buruh di UK Jeremy Corbyn dan bekas presiden Bolivia Evo Morales.

“Selain itu, keputusan politik yang salah yang diambil oleh pemimpin-pemimpin berhaluan kiri telah merosakkan reputasi sosialisme,” kata Gandipan.

Eksekutif berusia 26 tahun, Arveent Srirangan Kathirtchelvan (gambar, bawah) pula menjelaskan reputasi negatif sosialisme muncul hasil kerja golongan kapitalis yang bertujuan untuk menyebarkan pandangan negatif tentang sosialisme.

"Amerika Syarikat serta negara sekutunya telah menjalankan inisiatif propaganda yang besar untuk menyebarkan penciptaan naratif bahawa sosialisme bersifat autokratik dan merupakan sebuah ideologi yang gagal.

“Apa yang mereka tidak beritahu ialah tentang penglibatan aktif mereka dalam usaha-usaha untuk menggulingkan pemimpin sosialis yang telah dipilih oleh rakyat (seperti Salvador Allende pada 1973) di Chile dan juga usaha mereka untuk memusnahkan ekonomi negara seperti Cuba dan Venezuela melalui embargo," katanya.

Menurut Arveent, sosialisme satu-satunya ideologi politik tunggal yang berjuang bagi mereka yang dieksploitasi demi keuntungan modal.

"Petani serta mereka yang bekerja berjam-jam untuk gaji yang rendah, mereka yang tidak boleh membiayai kos perumahan dan kesihatan. Semua orang ini merupakan individu yang dieksploitasi oleh para kapitalis demi keuntungan.

"Mengapakah kami perlu malu untuk melawan demi mereka," tambah Arveent yang menyertai PSM pada 2018.

Sejarah terpendam haluan kiri

Sejarah ditulis oleh pemenang dan menurut ahli-ahli muda PSM ini, buku sejarah tidak mencatatkan peranan gerakan kiri dalam politik Malaysia.

Salah satu masalah utama, kata mereka adalah kesan sejarah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang memainkan peranan dalam usaha melawan pendudukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Selepas darurat 1948, PKM telah mengangkat senjata melawan British serta berperang dengan kerajaan Malaya dan seterusnya Malaysia sehinggalah Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989.

Selain ini, terdapat banyak peristiwa penting dalam sejarah kiri Malaysia. Mereka merujuk antaranya mogok umum atau Hartal 1947 yang digerakkan gabungan politik pertama tanah air, Putera-AMJCA untuk menuntut kemerdekaan daripada Inggeris.

Mereka turut mengimbau kejayaan Barisan Sosialis dalam pilihan raya pada lewat 1950an dan awal 1960an yang kemudian dilumpuhkan oleh tahanan tanpa bicara, juga 'pengharaman' pilihan raya kerajaan tempatan pada 1965 yang sebelumnya dikuasai parti-parti kiri.

Jelas mereka lagi, gerakan petani meneroka tanah untuk rakyat yang tidak bertanah selepas kemerdekaan dengan pemimpinnya yang pernah ditahan beberapa kali, Hamid Tuah (gambar, atas) memberi inspirasi dalam perjuangan sosialisme.

Pada 1967, Hamid memimpin ribuan penduduk kampung Teluk Gong mengadakan demonstrasi menuntut tanah yang mereka teroka menjadi hak milik mereka.

PSM juga sering menjalankan kelas-kelas sejarah dan ideologi untuk mendedahkan pemuda kepada sejarah sosialis.

Mahira Khairia, 29 (gambar, bawah) bekerja dalam bidang pemasaran. Dia yang juga seorang pereka grafik dan jurugambar menyertai PSM pada bulan April 2019.

Katanya, dia merupakan salah seorang yang pernah menghadiri kelas sejarah parti itu.

“Untuk menyoal dan menolak pelajaran yang telah menjadi pegangan, ia mengambil masa tetapi dunia makin berubah. Kita sedang menuju kepada era yang penuh dengan dugaan; sumber yang semakin kurang; jurang ekonomi yang melebar, krisis tidak berakhir di bawah rejim kapitalis dan imperialis.

"Ini telah menyebabkan rakyat menjadi lebih cenderung untuk berjuang menuntut perubahan, dan kurang bergantung kepada pihak berkuasa untuk jalan penyelesaian.

“Protes besar-besaran, kempen secara talian yang mempunyai ikutan antarabangsa yang menghubungkan orang ramai dan menjadi tempat pembelajaran.

"(Ia juga) membuka kesedaran mengenai kegagalan cara sistem kapitalis - dari segi upah, jantina, kelas, persamaan kaum dan juga hak terhadap penjagaan kesihatan. Sistem kapitalisme telah menggagalkan orang yang paling lemah dan hanya menguntungkan yang kaya,” katanya.

Mahira kali pertama mendapat tahu tentang PSM melalui Facebook.

Menurutnya, dia menghormati perjuangan parti itu menentang sistem kapitalis dan membela hak-hak komuniti yang tertindas seperti buruh, miskin bandar dan juga mereka yang telah ditolak oleh masyarakat, seperti golongan LGBT.

Gandipan pula berkata dia masih dalam proses belajar sejarah sosialisme di Malaysia dan tertarik kepada pemimpin buruh SA Ganapathy, presiden pertama Federasi Kesatuan Sekerja Pan-Malaya yang digantung mati oleh British pada tahun 1948 dan Ahmad Boestamam pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah ditahan selama bertahun-tahun.

“Saya mengkagumi ideologi, prinsip dan keberanian mereka,” kata Gandipan.

Arveent berkata selepas menyertai kelas ideologi PSM dia mempunyai pengetahuan yang secukupnya tentang sejarah politik kiri Malaysia.

“Saya amat kagum dengan Ahmad Boestamam. Dia merupakan ahli PKMM, sebuah parti Melayu nasionalis kiri yang memimpin Pusat Tenaga Rakyat (Putera) bersama dengan Majlis Tindakan Bersama Satu Malaya (AMCJA) yang merangka Perlembagaan Rakyat 1947.

“Ini merupakan desakan pertama untuk kemerdekaan Malaysia sebelum parti-parti lain seperti Umno. Malah, nasionalis kiri merupakan pejuang kebebasan pertama di Malaya.

"Perikatan kanan (Umno, MCA dan MIC) hanya merupakan pemimpin di bawah arahan British yang ingin melindungi posisi mereka di Malaya dari segi ekonomi dan lain-lain," katanya.

Ahmad Boestamam.

Untuk rekod, MIC sebelum darurat 1948 merupakan sebahagian AMCJA dan MCA ditubuhkan pada Feb 1949 oleh Tan Cheng Lock yang juga salah seorang pemimpin AMCJA sebelum diharamkan Inggeris ketika darurat 1948.

Ketika itu, Inggeris menghadapi perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya dan telah mengharamkan semua pertubuhan kiri, termasuk PKMM serta Putera-AMCJA.

Pengerusi PKMM Dr Burhanuddin al Helmy (yang kemudiannya mengasaskan PAS) dan Boestamam, bersama ratusan pemimpin kiri lain dipenjarakan tanpa bicara di bawah undang-undang darurat oleh British yang bimbang tentang pengaruh politik kiri.

Selepas dibebaskan daripada penjara, Boestamam telah menubuhkan Parti Rakyat pada 1955 yang kemudian dinamakan Parti Rakyat Malaysia.

"Selepas parti-parti ini, PSM telah dijelmakan pada tahun 1998,” kata Arveent.

V Kesavan, 27 (gambar, atas) seorang aktivis Pemuda Sosialis yang masih dalam pengajian. Dia juga seorang penggerak kumpulan pelajar luar bandar di Perak. Dia mendaftar sebagai ahli PSM selepas peperiksaan STPM kerana ingin menyertai parti yang benar dan ikhlas mencari penyelesaian untuk membasmi kemiskinan.

“Saya tahu bahawa kumpulan-kumpulan kiri memang banyak menyumbang kepada perjuangan untuk kebebasan Malaya. Saya mendapat inspirasi daripada Ahmad Boestamam dan juga bekas pemimpin PKM Samsiah Fakeh,” kata Kesavan.

Sebelum darurat 1948, Samsiah mengetuai sayap PKMM, Angkatan Wanita Sedar (Awas) sebelum kemudiannya menyertai PKM mengangkat senjata melawan Inggeris.

Ahmad Yasin juga memberitahu dirinya mendapat pengetahuan tentang sejarah kiri melalui kelas-kelas sejarah PSM.

“Ia memang merupakan salah satu cara alternatif untuk melihat sejarah melalui naratif yang lebih kiri. Saya tiada pemimpin yang dikagumi kerana tiada guna mengulang-gulang sumbangan orang yang sudah tiada,“ kata Ahmad.

Apa beza BN dan PH?

Pendapat yang dikongsi ramai pemuda sosialis adalah walaupun mereka sudah lama membantah aspek-aspek autokratik, korupsi dan penindasan kerajaan Barisan Nasional, mereka juga berpendapat kerajaan Pakatan Harapan yang runtuh Feb lalu tidak menawarkan alternatif yang lebih baik.

“Saya rasa bahawa PH mungkin cuba untuk mengubah cara BN mentadbir tetapi akhirnya, tiada perubahan juga yang berlaku.

“Untuk saya, ia amat mengecewakan, terutamanya beberapa undang-undang yang berkaitan dengan perkahwinan bawah umur yang boleh diubah dengan senang.

"Ahli politik telah dilantik oleh rakyat dan sepatutnya perlulah menjalankan tugas dengan memikirkan kepentingan rakyat dan bukan keputusan yang 'berpolitik' bertujuan untuk membenarkan mereka mengekalkan kuasa,” kata Vennusha.

Yap bersetuju dengan Vennusha, berkata kedua-dua gabungan itu lebih menyokong dasar neoliberal kapitalis yang mengetepikan dan membawa kesan negatif terhadap periuk nasi pekerja.

“Orang muda seperti saya sudah lama penat dengan perjuangan parti-parti besar seperti PH dan BN. Mereka terlalu berfokus kepada menggunakan isu perkauman dan agama untuk mendapat kuasa, maka merekalah yang mendapat keuntungan dan faedah dan bukan rakyat,” kongsi Zafirah.

"Cara terbaik untuk membawa perubahan positif kepada taraf hidup bagi rakyat biasa akan datang dari hasil perjuangan sosialis kiri dan bukan parti aliran utama," tambah Zafirah.

Danial pula lebih tajam dengan kritikannya terhadap PH.

“Perhimpunan anti-Icerd yang dihadiri beribu-ribu orang telah mendapat sokongan daripada nama-nama besar dalam politik, dan PH tidak membuat apa-apa malah tunduk terhadap tuntutan berunsur rasis dan penuh xenophobia (kebencian terhadap orang asing).

"Kejadian tersebut membuka mata saya bahawa mereka merupakan pimpinan yang sama bawah nama yang berbeza, 'boneka yang dikawal oleh tuan yang sama' dan memberi kita khayalan bahawa kami ada pilihan dan boleh membawa perubahan melalui sistem setiap lima tahun,” dakwa Danial.

Gandipan pula berkata ketika era kerajaan PH, paling tidak media mendapat lebih kebebasan dan lebih mudah untuk berjumpa menteri dan membincangkan sesuatu isu.

Bagaimanapun, katanya di bawah pentadbiran PH golongan pekerja darjat bawahan masih "dikorbankan di bawah sistem neoliberal dan dasar berjimat."

"Ini walaupun ada pertukaran parti yang berkuasa,” kata Gandipan.

Mahira juga berpendapat gabungan politik utama Malaysia masih membariskan kepimpinan orang lama yang sama.

Katanya, kelompok ini cuma ingin memelihara dan melindungi sistem sama yang membawa faedah hanya kepada golongan kaya dan berkuasa.

Arveent berkata PH merupakan pilihan yang lebih baik di antara dua pilihan yang tidak baik.

“BN lebih terbuka tentang penyalahgunaan kuasa mereka dan merompak dari rakyat secara terus, Pakatan Harapan pula lebih mementingkan untuk mengekalkan status quo kapitalis yang menzalimi tenaga kerja dan menyokong pemaju perumahan," dakwanya.

“Memang terdapat beberapa perubahan yang progresif. Hannah Yeoh semasa dia berkhidmat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalankan tugas dia dengan baik.

"Gobind Singh juga menjalankan tugas dia dengan baik. Tetapi adakah ini mencukupi? Secara pendeknya, tidak,” kata Arveent lagi.

PSM parti semut tapi 'menggigit'

Salah satu halangan besar PSM ialah kegagalan parti sosialis itu untuk mendapat sokongan daripada masyarakat di luar komuniti India di Semenanjung Malaysia.

Sebahagian besar pemimpin PSM yang terkenal berketurunan India dan berasal dari negeri Pantai Barat seperti Selangor dan Perak.

PSM pernah mempunyai ahli parlimen ketika era gabungan Pakatan Rakyat (sebelum PH) bagaimanapun gagal mengekalkan kerusinya itu apabila bertanding tanpa menyertai gabungan PH pada PRU14.

Ini menyebabkan PSM diketepikan dan dipandang sebagai 'parti semut' yang mempunyai impak kecil dan tarikan yang terhad.

“Terdapat sedikit kekecewaan dengan keputusan pilihan raya,” kata Kesevan mengenai PRU14.

Pada pilihan raya umum lalu, PSM bertanding lima kerusi parlimen dan 14 kerusi DUN tetapi kalah teruk tanpa satu pun kemenangan, termasuk kekalahan Dr Jeyakumar mempertahankan kerusi Sungai Siput.

Semua calon yang bertanding juga telah hilang wang deposit dengan jumlah undi keseluruhan yang diterima PSM cuma 3,782 undi daripada lebih 12 juta undian pada PRU14.

“Tetapi parti telah menang banyak perjuangan dan telah berjaya menganjurkan banyak kempen-kempen. Sebagai contoh, undang-undang gaji minima dan skim insurans pekerja adalah antara isu-isu yang telah diperjuangkan oleh parti sejak zaman 90an.

"Sayap pemuda kami mendapat lebih ramai ahli baru yang bukan India, oleh itu kami berpendapat bahawa kami harus meneruskan kerja baik kami. Parti juga sewajarnya harus menjalankan lebih banyak sesi perbincangan, bengkel-bengkel dan forum bersama dengan pemuda luar bandar," kata Kesavan.

“Kadangkala saya berasa kecewa juga kerana kita merupakan parti yang kecil (dari segi ahli sahaja), tetapi dengan bilangan yang kecil ini, saya telah nampak impak yang positif yang dibawa oleh PSM kepada negara.

"Saya tahu bahawa kita boleh membuat lebih lagi jika kami mempunyai bilangan ahli yang lebih besar dan juga lebih kuasa," kata Vennusha.

Yap berpendapat PSM sedang berkembang dan lebih ramai orang menghargai kerja yang PSM buat.

“Memperjuangkan isu-isu yang dihadapi pemuda seperti pendidikan berkualiti dan berpatutan, pengangguran, krisis iklim, amat diperlukan,” katanya.

“PSM mempunyai tarikan kepada semua bangsa tetapi kebanyakan pekerja yang mengalami eksploitasi adalah orang India, jadi tidak pelik bahawa orang bukan India fikir bahawa parti ini hanya kisah tentang orang India,” kata Yap lagi.

Ain Zafirah (gambar, bawah) berkata kelas pekerja Malaysia di Malaysia amat memerlukan pejuang dan PSM boleh memainkan peranan itu.

“Ia sangat susah untuk melawan mentaliti orang ramai tentang PSM, terutamanya antara orang Melayu.

"Saya menyertai PSM kerana saya memang mempunyai minat dalam perjuangan parti dalam menolong orang ramai dan pekerja menghadapi isu-isu mereka," jelasnya.

Menurutnya, PSM perlu lebih senang untuk didekati dan dilihat mesra.

"PSM harus belajar cara untuk menyebarkan mesej mereka dengan lebih efektif. Jika orang ramai masih tidak kisah tentang hak-hak mereka, kami akan menghadapi penindasan yang berterusan untuk generasi-generasi yang akan datang,” kata Ain Zafirah.

Danial berkata kerajaan gagal untuk mengambil tindakan menangani keperluan generasi muda, terutamanya isu berkaitan krisis iklim dan alam sekitar.

“Saya tidak pernah melihat sekumpulan individu yang sangat berdedikasi dalam menentang dan melawan penindasan.

“Tahap tidak prihatin kapitalisme untuk menjaga orang ramai semasa pandemik global sudah semakin terdedah dalam beberapa bulan yang lepas, dan sudah semakin jelas bahawa sistem itu kini tidak mengabadikan apa-apa selain pertumbuhan modal.

“Walaupun kami tidak memenangi kerusi semasa pilihan raya yang lepas, perjuangan rakyat tidak akan berhenti dan jumlah individu yang diusir dari kediaman dan mengalami kehilangan pekerjaan semakin meningkat; kes-kes membunuh diri dan percubaan membunuh diri juga meningkat," katanya.

Menurut Daniel lagi golongan elit yang berkuasa masih tidak bertindak, dan terus membuktikan bahawa keperluan untuk alternatif sangat penting dan mendesak.

"PSM telah membuat banyak kerja yang penting dalam isu-isu ini, seperti mencadangkan pendapatan asas sementara dan mencipta peluang pekerjaan “hijau” kepada kerajaan dan meningkatkan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan mental rakyat dan menjalankan banyak aktiviti akar umbi," kata Danial.

Budaya meme dan media sosial, katanya juga telah diguna sebagai alat kempen yang penting bagi parti.

Mahira juga bersetuju PSM harus mengguna pakai sepenuhnya media sosial untuk menyebarkan ideologinya kepada orang ramai.

Katanya, PSM perlu menggunakan daya tarikan yang betul untuk meraih perhatian pembaca.

"Kita harus tidak takut untuk bersuara tentang ideologi kiri kami walaupun mungkin akan menerima tentangan. PSM harus mencari individu yang bertekad untuk membawa perubahan bagi semua dan bukan sahaja beberapa orang yang terpilih.

"Untuk mereka yang sudah penat dengan penyalahgunaan kuasa yang biasa oleh sistem politik lama dan masih menjadi mangsa kepada sistem yang menzalimi orang, saya menggesa anda untuk mengetahui lebih banyak tentang PSM kerana kemungkinan besar kami sudah sedia memperjuangkan apa yang kamu ingin perjuangkan juga.

"Sebagai seorang yang bukan India, saya boleh menyatakan pengalaman peribadi saya ialah PSM amat inklusif dan sedia menyambut mereka yang ingin berjuang untuk masa depan yang lebih baik untuk Malaysia," kata Mahira.

Arveent mengakui dia kecewa dengan saiz parti yang kecil kerana katanya PSM boleh membawa perjuangannya lebih jauh lagi jika sokongannya bertambah.

“Ini bukan disebabkan sebarang cita-cita politik sendiri. Realitinya ialah kita telah membuat kerja-kerja akar umbi yang luas dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.

"Dari sistem perumahan PPR yang bermasalah dan bahawa memang tidak ada perumahan yang mencukupi bagi golongan B40, kepada penindasan yang dialami oleh buruh migran yang disusahkan lagi oleh kerajaan yang penuh rasuah.

"Jika kami lebih besar bilangan ahli dan mempunyai beberapa kerusi di parlimen, secara teori kami boleh melawan dengan lebih keras," katanya.

Jelasnya lagi, politik bukan sahaja berdasarkan pilihan raya tetapi mengenai kepentingan rakyat dan PSM berjuang di lapangan bersama rakyat serta memahami isu-isu sebenar yang dihadapi oleh mereka.

"Kami telah menubuhkan kesatuan-kesatuan pekerja, kesatuan penduduk dan banyak lagi gerakan menentang eksploitasi kapitalis. Ini adalah politik yang sebenar.

"Ya, kami memang kecil dan ada yang panggil kami parti semut tetapi kami telah memenangi beribu-ribu kes buruh, perumahan bagi pekerja estet, pampasan untuk mereka yang dizalimi oleh kapitalis dan banyak lagi pertempuran akar umbi.

"Tiada parti lain yang buat kerja ini dan mempunyai impak seperti ini. Benar bahawa kami parti semut, tetapi impak kami seperti gergasi,“ kata Arveent.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS