Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Agong, Permaisuri ucap selamat sambut Hari Krismas
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 8:30 PM
Dikemaskini: 12:30 PM

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada penganut beragama Kristian di seluruh negara yang meraikan perayaan itu esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar perayaan itu membawa keamanan, kemakmuran, perpaduan dan kegembiraan kepada semua yang menyambutnya.

“Seri Paduka berdua bertitah agar rakyat tidak gusar dan bersedih kerana tidak dapat meraikan perayaan ini seperti kelaziman ekoran daripada penularan wabak Covid-19.

“Walaupun perayaan ini terpaksa disambut dengan pelbagai peraturan dan larangan, Seri Paduka berdua bertitah rakyat perlu bersyukur dan bergembira kerana masih dikurniakan kesihatan untuk bersama keluarga dan insan disayangi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat dalam meraikan perayaan itu supaya sentiasa berwaspada, berdisiplin menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan serta pihak berkuasa.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun baru 2021, serta bertitah supaya seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang bersama mendoakan Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi daripada segala bentuk ancaman serta dikurniakan kemakmuran dan perpaduan berkekalan.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah kini berada di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena lawatan khas selama lima hari dan dijadual berangkat pulang ke tanah air esok.

Berdasarkan SOP ditetapkan oleh kerajaan, Seri Paduka akan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berangkat pulang dari Abu Dhabi dan sebaik sahaja mendarat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah juga akan menyambut tahun baru 2021 di Istana Negara kerana dinasihati menjalani kuarantin diri seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS