Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Zulkifli Mohamad mesti memberikan penjelasan memuaskan berhubung isu sindiket penipuan daging halal yang dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata setakat ini senator berkenaan masih "menikus" walaupun kementeriannya bertanggungjawab dalam hal berkaitan sijil halal.
"Kebobrokan ini harus dijawab oleh Menteri di JPM yang masih menikus daripada memberikan penjelasan berhubungan penyalahgunaan kuasa di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Salahuddin berkata Jakim yang berada dalam bidang kuasa Zulkifli merupakan agensi bertanggungjawab menguruskan status halal haram makanan di negara ini.
Kewujudan sindiket terbabit kata bekas menteri pertanian itu jelas menimbulkan keraguan mengenai tahap integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara.
Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging - antaranya kangaru dan kuda yang tidak berstatus halal - untuk dijual sebagai daging halal.
Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan kerana bersekongkol dengan kartel berkenaan.
Antara habuan yang diterima termasuklah wang dan khidmat seks.
Pada bulan lalu parlimen diberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat kes kartel berkenaan yang berlaku di Senai, Johor.
Salahuddin berkata selain Zulkifli satu lagi pihak yang perlu memberi penjelasan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai pihak yang mengelola urusan mengeluarkan permit, lesen dan perakuan barangan import seperti di Johor.
Ahli parlimen Pulai itu juga mendesak pihak berkuasa menyiasat sedalam-dalamnya kegiatan rasuah dan salah laku yang menyebabkan kartel terbabit boleh beroperasi sebelum mereka dikenakan hukuman setimpal.
Pada masa sama kata Salahuddin kerajaan perlu mengambil serius kes keselamatan makanan dengan memperhalusi, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan untuk memastikan setiap produk berkaitan yang dipasarkan selamat.
"Kerajaan Perikatan Nasional yang didominasi parti Melayu Islam mesti menunjukkan kesungguhan mereka menjaga kebajikan dan kepentingan Muslim.
"Janganlah biarkan slogan Melayu Islam hanya tinggal sebagai retorik untuk memperdaya masyakarat dan meraih undi menjelang pilihan raya," katanya.