Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki didakwa seludup 4 ekor anak kucing dalam seluar
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 11:34 AM
Dikemaskini: 4:27 AM

GLOBAL | Seorang lelaki didakwa di mahkamah Singapura semalam kerana menyembunyikan empat anak kucing di dalam seluarnya, dalam percubaan menyeludup haiwan berkenaan dari Malaysia ke republik itu.

Justin Ng Chin Boon, seorang rakyat Singapura berdepan 15 tuduhan di bawah Akta Haiwan dan Burung kerana membawa masuk anak-anak kucing berkenaan pada tengah malam 2 Jan lalu melalui Pusat Pemeriksaan Tuas.

Turut didakwa adalah Leow Hua Liang, pemandu kereta yang dinaiki Ng dan seorang wanita.

Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa cuba menyeludup haiwan-haiwan tersebut dalam "keadaan pengudaraan yang lemah dan kawalan suhu yang buruk".

Leow, 42 tahun, yang juga merupakan seorang warga Singapura, menghadapi 17 tuduhan dan didakwa membantu penyeludupan dengan memandu kereta yang dinaiki Ng.

Tidak jelas bagaimana mereka saling mengenali antara satu sama lain, lapor berita.mediacorp.sg.

Sebelum ini, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan para pegawainya mengesan beberapa ekor anak kucing di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Mereka melakukan pemeriksaan lanjut selepas terdengar bunyi mengiau dari seluar Ng, tambah ICA.

Kedua-dua lelaki itu dipercayai tidak mengisytiharkan kucing-kucing tersebut kepada para pegawai kastam.

Ng dan Leow juga berdepan tuduhan beberapa kali menyeludup haiwan keluar masuk dari Singapura.

Sebelum ini Leow dipercayai mengeksport dua ekor burung dari Singapura ke Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Tuas dengan menyembunyikan burung-burung itu dalam kantung duit syiling berzip di panel pintu pemandu.

Dia dan Ng juga dituduh membantu Leong Sok Boy, seorang wanita berusia 71 tahun,  mengimport tujuh ekor kucing ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 11 Ogos 2018.

Haiwan-haiwan itu disembunyikan dalam beg tangan atau beg kanvas plastik. Bagi kesalahan tersebut, ketiga-tiga tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah pada 27 Januari depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS