Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuntutan caj air cara Kedah pancing dana pusat, dakwa Ramasamy
Diterbitkan:  Dec 24, 2020 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menyifatkan tuntutan Kedah yang mahu negeri itu membayar caj air mentah untuk Sungai Muda sebagai muslihat politik bagi mendapatkan dana persekutuan.

Tambah Ramasamy, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor sebenarnya tidak tahu-menahu hal-hal berkaitan hak air dan mengapa Pulau Pinang tidak perlu membayar caj air mentah yang diambil dari Sungai Muda.

“Kecuali - sudah tentu - dia ingin bermain politik untuk mendapat dana kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Sanusi menjelaskan Kedah ingin mengenakan caj 10 sen bagi setiap bagi satu meter padu air mentah yang diambil Pulau Pinang dari Sungai Muda untuk memastikan kelangsungan bekalan air.

Namun, Pulau Pinang menegaskan, menjadi hak negeri itu untuk mengambil air mentah dari sungai berkenaan kerana ia dibuat dalam negeri terbabit itu.

Bagaimanapun Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sedia mengadakan perbincangan bersama Kedah susulan tuntutan tersebut.

Ramasamy menambah, Pulau Pinang sama sekali tidak akan membayar caj air mentah yang dituntut Kedah walaupun satu sen.

“Kerajaan Pulau Pinang jelas memberitahu kami tidak akan membayar satu sen pun kepada Kedah kerana mengambil air mentah dari Sungai Muda bahagian negeri kami.

“Tidak akan ada rundingan atau perbincangan dengan kerajaan Kedah jika hak air Pulau Pinang tidak dihormati,” tambahnya.

Sungai Muda merupakan aliran sungai dari tengah Kedah dan memanjang ke selatan dan membentuk sempadan semula jadi di antara negeri itu dengan Pulau Pinang.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas Kedah “berkorban” untuk tidak meneroka kawasan tadahan Ulu Muda yang menjadi punca air Sungai Muda. 

Bagaimanapun, Sanusi menolak dan berkata Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah diberikan kepada negeri itu, bukannya dalam bentuk sumbangan

Untuk rekod Sanusi merupakan Adun Jeneri yang mewakili PAS, manakala Tuan Ibrahim ialah timbalan presiden parti berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS