Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Tarik diri dari Ekspo bukan putus hubungan dengan negara peserta

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Ahmad Amzad Hashim sekali lagi menyelewengkan fakta berhubung desakan kami daripada Amanah tentang isu penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020.

Dalam hantaran Facebook beliau baru-baru ini, Ahmad Amzad menuduh Raja Kamarul Bahrin Shah dan Amanah mendesak Malaysia memboikot Emiriah Arab Bersatu (UAE), China, Australia dan Singapura kerana menyertai Ekspo Dubai 2020.

Sebelum ini beliau pernah mendakwa Palestin turut mengambil bahagian Ekspo Dubai 2020 walaupun Palestin menarik diri sejak Ogos 2020 lagi setelah Dubai menjalin hubungan diplomatik dan menjemput Israel turut serta sebagai peserta.

Sebagai timbalan menteri, kenyataan emosi Ahmad Amzad keterlaluan dan jauh menyimpang serta menyeleweng dari kenyataan saya dan Amanah yang tidak pernah mencadangkan perkara tersebut.

Ahmad Amzad 

Menarik diri daripada Ekspo Dubai 2020 tidak bermaksud dan bermakna memutuskan hubungan diplomatik dengan Dubai atau UAE, Singapura, China dan Australia sebagai negara atau rakan perniagaan.

Saya telah pernah memberi contoh kepada beliau tentang boikot Olimpik Moscow 1980 oleh Malaysia kerana serangan Rusia ke atas Afghanistan tidak melibatkan boikot (sehingga) putus hubungan diplomatik dengan Rusia atau negara-negara lain yang menyertainya.

Sama juga dengan boikot pertandingan sukan yang disertai pasukan ragbi masyhur Springboks (bawah) daripada Afrika Selatan kerana dasar Apartheid negara tersebut berpuluh tahun pun tidak melibatkan putus hubungan negara lain yang menyertainya.

Ahmad Amzad sepatutnya tidak emosi dan bertindaklah lebih matang dan rasional mengeluarkan kenyataan sebagai timbalan menteri.

Serangan Rusia ke atas Afghanistan hanya untuk beberapa tahun, tetapi serangan, pembunuhan dan penaklukan Israel ke atas bumi Palestin melibatkan puluhan tahun dan puluhan ribu kematian umat Islam.

Sentimen umat Islam

Pandangan kenyataan saya dan Amanah bukan berseorangan tetapi disokong oleh sekurang-kurannya 49 NGO dan pertubuhan sukarela seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Viva Palestina, MyCare, Ikram dan yang lain-lain.

Inilah sentimen sebenar denyutan nadi umat Islam di Malaysia yang Ahmad Amzad dan PAS apabila telah menjadi kerajaan, telah mulai jauh terpisah dari realiti dunia Islam hari ini.

Kuasa dan kedudukan patut digunakan untuk membela yang dizalimi dan ditindas dan bukan untuk hanya untuk kekal berkuasa.

Ahmad Amzad hanya berhujah tentang kos wang ringgit yang telah dibelanjakan untuk menjustifikasikan penyertaan Malaysia di Ekspo Dubai 2020 tanpa mengingati ribuan nyawa terkorban di Palestin sambil merenung roh perjuangan saudara Islam yang terus dizalimi

Pada 21 Disember 2020, jurucakap Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Nikolai Malidenov menyatakan harapan untuk penyelesaian Palestin (menerusi) ‘cara dua negara’ makin cepat pudar dengan pemindahan lebih agresif dan ramai orang Yahudi ke tanah Palestin dan sokongan kuat Amerika Syarikat terhadap rejim ZionisIsrael.

Amerika memainkan peranan sebagai orang tengah untuk menarik sebuah lagi negara Islam iaitu Maghribi untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dengan menjanjikan pengiktirafan tuntutan Maghribi ke atas Sahara Barat.

Ini berlaku selepas Mesir, Jordan, Sudan, UAE dan Bahrain menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Tindakan Ahmad Amzad mendirikan papan iklan besar di Kuala Nerus, Terengganu mempromosi secara besar-besaran Ekspo Dubai 2020 menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap rakyat Terengganu yang konservatif dan bersimpati dengan Palestin serta anti-Zionis Israel.

Kami bukan meminta Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Dubai atau mana-mana negara negara yang menyertai Ekspo Dubai 2020.

Sebaliknya kami menuntut kerajaan Malaysia menunjukkan solidariti dengan rakyat Palestin yang dizalimi dan dibunuh dengan kejam oleh rejim Zionis-Israel.

Kami memohon Ahmad Amzad memulakan proses kempen kesedaran ini dengan menurunkan papan ilklan besar dengan gambar beliau tersenyum di saat rakyat Palestin dihalau dari bumi mereka oleh Yahudi Israel sementara saudara sesama Islam mereka sendiri makin memencilkan mereka.

Kami amat hairan perubahan sikap PAS yang makin membisu dan makin hilang dari radar protes rejim Zionis-Israel laknatullah sejak menjadi kerajaan hari ini.

Ini adalah pengorbanan yang sangat kecil jika dibandingkan dengan penderitaan serta penghinaan puluhan tahun rakyat Palestin dipijak dan dihalau dari bumi dan Masjid Al-Aqsa.


RAJA KAMARUL BAHRIN Shah ialah pengerusi Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS