Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Istana Sepachendera, Istana Tunku Kudin perlu dipulihara
Diterbitkan:  Dec 22, 2020 6:00 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Dua istana lama yang terbiar iaitu Istana Sepachendera, di Alor Setar dan Istana Tunku Kudin (atas) di Kepala Batas, perlu dipulihara sebaik mungkin, bagi mengekalkan warisan sejarah yang dimiliki kedua-duanya.

Pengarah Muzium Kedah Suhaidi Shukri berkata dua monumen itu yang kini berada dalam keadaan usang dan dinaiki semak samun, mempunyai nilai tersendiri yang boleh dijadikan tatapan orang ramai terutama generasi muda.

Sehubungan itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan bagi mengembalikan semula keindahan bangunan itu dan kawasan sekitarnya.

“Untuk permulaan kita mahu bersihkan kawasan semak samun dahulu supaya orang ramai dapat lihat pemandangannya, itu langkah pertama kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kedah di Alor Setar, hari ini.

Istana Sepachendera

Beliau diminta mengulas mengenai inisiatif pihak muzium negeri untuk memulihara dua monumen tinggalan sejarah berkenaan yang kini terbiar usang.

Suhaidi berkata, Muzium Kedah juga bercadang mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak lain yang berkaitan, mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil agar kedua-dua istana itu tidak terus terbiar tanpa penjagaan.

Istana Sepachendera yang terletak di Jalan Kampung Baru, dikhabarkan dibina Sultan Kedah ke-25 iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Shah khusus untuk isterinya Che Sepachendera, yang dikatakan berasal dari Siam pada 1882.

Istana Tunku Kudin pula dikatakan kepunyaan Tunku Dhiauddin ibni Sultan Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Tunku Kudin, Raja Muda Kedah ketika pemerintahan abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah pada 1854 hingga 1879.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS