Kerajaan harus memandang serius laporan mengenai rasuah melibatkan "kartel" pengimportan daging," kata Setiausaha Politik kepada ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan.
Jelasnya laporan yang didedahkan media itu menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia berhubung status halal daging-daging yang berada di pasaran negara ini.
"Di samping itu, laporan-laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.
"Dilaporkan bahawa daging-daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.
"Pihak kerajaan harus memandang serius terhadap laporan-laporan ini, dan pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas perkara yang didedahkan oleh laporan-laporan tersebut.
"Perkara ini, sekiranya benar, sekali lagi menunjukkan bahawa rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember membangkitkan isu ‘kartel’ yang mengimport daging ke Malaysia.
Menurut laporan tersebut, kartel berkenaan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.
Antara daging-daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.
Dalam pada itu, Syahredzan Johan berkata berdasarkan laporan itu pegawai yang terlibat telah menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut.
Pada 8 Dis lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilapor sedang menjalankan siasatan berhubung kes kartel import daging haram di Senai, Johor.