Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kita ada bukti, kata menteri lepas kilang sarung tangan nafi laporan

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan menyangkal penafian pengeluar sarung tangan, Brightway Holding berhubung serbuan di salah sebuah kilangnya semalam yang membongkar beratus-ratus pekerjanya hidup dalam keadaan daif.

Ketika dihubungi, Saravanan, yang turut menyertai serbuan pelbagai agensi di sebuah anak syarikat Brightside di Kajang, berkata, adalah perkara biasa bagi majikan membuat penafian ketika berhadapan dakwaan melakukan perhambaan moden.

"Biarkan mereka kata apa yang ingin mereka katakan.

"Kita memiliki cukup bukti untuk menegakkan undang-undang..

"Adalah biasa bagi majikan menafikan. Itu (hanya) akan memaksa kita untuk menerbitkan lebih banyak gambar mengenai keadaan tersebut.

"Bagaimanapun, kita ada cukup media ketika lawatan tersebut," katanya.

Serbuan berkenaan menemui 781 pekerja tinggal dalam dua kontena setinggi tiga tingkat di belakang kilang berkenaan.

Saravanan dilaporkan berkata, keadaan tempat tinggal pekerja berkenaan adalah paling buruk pernah dilihatnya.

Difahamkan pekerja terbabit terdiri daripada 759 pekerja asing dan 22 penduduk tempatan.

"Saya panggil ini sebagai modern slavery (penghambaan moden)

"Saya amat sedih melihat keadaan ini... walaupun kita pernah lihat ini ketika dijajah British sebelum kemerdekaan kata Saravanan seperti dipetik Astro Awani.

Malaysiakini difahamkan pejabat daerah Hulu Langat telah merampas kontena tersebut kerana didakwa dibina tanpa kebenaran dan pekerja berkenaan mesti dipindahkan ke tempat lain.

Pengurus Sumber Manusia Brightway, Alice Michael, bagaimanapun, mendakwa hanya 450 pekerja berada di lokasi berkenaan dan mereka pada awalnya tinggal di sebuah bangunan tiga tingkat berdekatan dengan kilang tersebut.

"Hanya ada 450 pekerja di situ, kebanyakannya memiliki asrama lebih jauh, tetapi dibawa masuk ke bangunan ini buat sementara waktu," kata Michael seperti dipetik Reuters.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata kementeriannya hanya menjalankan tugas untuk menyelamatkan imej negara yang membabitkan isu berkaitan pekerja.

Ditanya sama ada syarikat itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang baru dipinda (Akta 446), Saravanan berkata pihaknya sedang mengkaji perkara itu.

Saravanan juga mengesahkan bahawa pengarah urusan syarikat itu akan dipanggil oleh Pejabat Tenaga Kerja Bangi minggu depan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini Jabatan Kesihatan Selangor mengeluarkan arahan agar kilang itu ditutup dari 24 Dis hingga 30 Dis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS