Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2,018 kes, lapan kluster baru, satu kematian
Diterbitkan:  Dec 21, 2020 6:34 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada pada empat angka dan melonjak kepada 2,018 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 95,327 dengan kes aktif sebanyak 16,496.

Selangor terus mencatatkan kes tertinggi, iaitu 1,204 atau hampir 60 peratus daripada semua kes baru, hari ini ini. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 278 kes (13.8 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 247 kes (12.2 peratus).

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Kuala Lumpur (127), Negeri Sembilan (58), Labuan (29), Perak (21), Pulau Pinang (18), Pahang (12), Melaka (9), Kelantan (6), Putrajaya (5), Kedah (3)dan Terengganu (1).

Sarawak dan Perlis tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat lapan kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster itu adalah seperti berikut:

  • Kluster Pekapuri - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak di Selangor.
  • Kluster Batu Besar - Ini pula adalah kluster tempat kerja di daerah Klang di Selangor.
  • Kluster Tower - Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Gombak, Hulu Langat dan Sepang di Selangor; daerah Titiwangsa dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Temerloh di Pahang.
  • Kluster Tapak Bina Pelangi - Ini melibatkan daerah Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  • Kluster Wawasan - Kluster ini melibatkan melibatkan daerah Petaling di Selangor, daerah Lembah Pantai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya.
  • Kluster Delima - Ini pula adalah di daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Gombak dan Hulu Langat di Selangor.
  • Kluster J Bandar - Kluster tempat kerja ini melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan.
  • Kluster May Indah - Ini adalah kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 250 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Teja Kasih, kluster Permatang, kluster Kejora, kluster Bayan, kluster Numbak dan kluster Danau.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 201 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster Sungai Putus (507 kes), kluster Tembok Gajah (234 kes) dan kluster Pekapuri (202 kes).

Sementara itu, daripada keseluruhan 2,018 kes baru hari ini, terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,084 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 78,393 atau 82.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 109 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah mangsa yang berusia 50 tahun itu bukan warga negara dan meninggal dunia di Hospital Tuaran..

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 438 kes atau 0.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS