Paling Popular
Terkini

Bekas menteri WIlayah Persekutuan Tengku Adnan Mansor didapati bersalah dalam kes rasuah bernilai RM2 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan sabitan itu sambil Tengku Adnan melihat dari kandang tertuduh semasa prosiding mahkamah terbuka pagi ini.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya melangkaui keraguan yang munasabah.

"Tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan.

"Saya mendapati tertuduh bersalah dan mensabitkannya atas tuduhan itu," kata Zaini membuat keputusan.

Prosiding mahkamah kemudian berehat seketika antara 30 dan 45 minit bagi membolehkan pihak pembelaan membuat persiapan mitigasi semasa hakim menjatuhkan hukuman nanti.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan kes pada akhir pembelaan.

Terdahulu, pada 7 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang lain memberikan Tengku Adnan pelepasan yang tidak dibebaskan (DNAA) dalam satu lagi kes rasuah bernilai RM1 juta.

Menurut pertuduhan yang berkaitan dengan keputusan hari ini, Tengku Adnan, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah AKSB.

Rasuah itu diterima Tengku Adnan melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Ahli parlimen Putrajaya itu didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala peguam Datuk Tan Hock Chuan mengetuai pasukan pembelaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS