Paling Popular
Terkini

Aktiviti industri dan perkilangan yang semakin drastik di Kuala Langat menjadikannya antara daerah di Selangor yang sering dihimpit dengan isu pencemaran alam sekitar.

Rencana tiga bahagian ini mendalami isu pencemaran di daerah Kuala Langat serta tindakan yang telah diambil pihak berkuasa.

Bahagian pertama ini mengupas masalah yang dihadapi penduduk di Kuala Langat kesan daripada aktiviti perindustrian dan kilang yang tidak terkawal hingga menjejaskan kesejahteraan hidup mereka.

Cukup membimbangkan apabila melihat pembukaan secara agresif aktiviti perindustrian di daerah Kuala Langat terutama kilang-kilang haram yang boleh diibaratkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Daerah yang terkenal dengan lokasi pelancongan di Pantai Morib, Pulau Carey dan Bukit Jugra ini, kini berhadapan dengan pelbagai isu terutama kesan pencemaran akibat kerakusan aktiviti industri yang berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Siapa sangka, Kuala Langat yang pernah diuar-uarkan untuk menjadi taman ilmu sekitar tahun 1990an, kini berubah wajah menjadi tumpuan “tauke-tauke kilang” yang ingin mengaut keuntungan.

Walaupun sudah banyak kes kilang sama ada secara haram atau berlesen yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) dibongkar dan diambil tindakan namun ia langsung tidak meninggalkan kudis, malah lokasi strategik di Kuala Langat tetap menjadi tumpuan.

Kedudukan geografi Kuala Langat yang berdekatan dengan Pelabuhan Klang hanya kira-kira 30 kilometer selain dikelilingi Sungai Langat antara sebab daerah yang kaya dengan peninggalan sejarah ini menjadi pilihan.

Sungai Langat sepanjang 149.3 kilometer yang muaranya terletak di Kuala Langat dijadikan tempat untuk mengalir dan membuang sisa industri selain digunakan untuk menjana tenaga bagi pengoperasian kilang.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenanan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim sebelum ini menyatakan terdapat 8,676 kilang dan industri berada di lembangan Sungai Langat.

Daripada jumlah yang dilaporkan, 27 buah kilang tanpa kebenaran beroperasi di sekitar sungai di kawasan Kuala Langat.

Kesan alam sekitar

Pembukaan drastik kilang-kilang di Kuala Langat terutama sejak lima tahun kebelakangan ini menyebabkan kehidupan penduduk di Kuala Langat tidak lagi aman dan sering diganggu dengan isu-isu pencemaran daripada aktiviti industri.

Kawasan yang menjadi tumpuan bagi pembukaan industri dan kilang antaranya di Teluk Panglima Garang, Jenjarom, Sungai Manggis, Teluk Mengkuang serta Tanjung 12 di Banting.

Tahun lepas sahaja, tidak kurang 30 buah kilang haram di Kuala Langat telah diarah tutup dan didenda di mahkamah kerana terlibat dalam aktiviti kitar semula plastik import yang menyebabkan pencemaran kimia di udara serta pembuangan sisa industri ke sungai.

Antaranya sebuah kilang kitar semula bateri di Jenjarom diarah tutup serta merta dan dikenakan kompaun RM12,000 pada tahun lepas kerana menyebabkan pencemaran asid dan plumbum kepada penduduk setempat.

Bukan itu sahaja, Kuala Langat turut dijadikan lokasi pembuangan sisa elektrik dan elektronik (E-Waste) apabila timbunan sisa itu ditemui di tujuh lokasi di sekitar Jenjarom pada awal Januari tahun ini.

Pada Oktober lepas juga dikesan aktiviti pembakaran terbuka timbunan sisa buangan dipercayai E-Waste di tapak pelupusan haram berhampiran pasar raya Giant di Banting yang menyebabkan pencemaran udara di beberapa kawasan kampung berhampiran.

Keadaan ini menimbulkan satu pertanyaan, kenapa begitu mudah untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang alam sekitar di Kuala Langat?.

'Tempat proses sampah'

Keresahan penduduk mengenai isu pencemaran yang berlaku sangat berasas kerana ia berkait rapat dengan risiko kesihatan dan kesejahteraan hidup lebih 200,000 penduduk di Kuala Langat.

Beberapa kes sebelum ini seperti operasi kilang bateri dan kilang kitar semula sisa plastik memang memberi kesan kepada kesejahteraan dan kesihatan penduduk di Kuala Langat.

Menurut seorang daripada penduduk Sungai Manggis, Bating, Mohd Ali Hasan @ Ibrahim, 42, penduduk bukan menentang pembangunan atau tidak suka Kuala Langat dijadikan lokasi perindustrian dengan pembukaan kilang-kilang tetapi hendaklah dipastikan operasi kilang tidak memberi kesan kepada alam sekitar.

“Kilang-kilang haram dan berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kehidupan penduduk setempat tidak harus dibenarkan berada di Kuala Langat,” katanya.

Menurut beliau, aspirasi untuk melihat Kuala Langat sebagai taman ilmu seperti yang pernah dicetuskan bekas Ahli Perlimen Kuala Langat yang juga bekas menteri pengajian tinggi, Allahyarham Tan Sri Shafie Mohd Salleh kini hanya tinggal kenangan.

“Sejak 2008 hingga ke hari ini, tiada lagi kesinambungan aspirasi itu dan kalau kita lihat pada hari ini, Kuala Langat seperti menjadi tempat memproses sampah dari luar negara.

“Banyak kilang kitar semula yang wujud di sini dan saya percaya akan terus bertambah selepas ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat penerbangan ini berkata Sungai Manggis juga tidak terkecuali menerima kesan daripada pembukaan kawasan industri di Kuala Langat.

Menurut Mohd Ali, sebuah kilang memproses kertas terpakai yang beroperasi sejak pertengahan tahun ini telah menyebabkan kehidupan penduduk yang berhampiran dengan kilang menerima kesan pencemaran bunyi dan bau.

“Kami percaya pembinaan kilang berstatus industri berat ini tidak mengikuti syarat terutama jaraknya yang terlalu hampir dengan taman perumahan dan sekolah.

“Ini mengundang implikasi jangka panjang terutama kesihatan penduduk sebab sekarang mereka sering terhidu bau kurang menyenangkan selain bunyi bising kontena yang diturunkan di kilang itu,” katanya.

Jelasnya, zon penampan sepertimana yang diwartakan Majlis Perbandaran Kuala Langat iaitu perlu jarak 500 meter dari kilang ke kawasan perumahan.

Persoalanya, bagaimana kilang berstatus industri berat itu boleh diluluskan dibina berdekatan dengan kawasan penduduk dengan jarak 100 meter dan sekolah kurang 50 meter?, katanya.

Kesannya terhadap kesihatan penduduk terutama di Taman Bakti yang jaraknya hanya kira-kira 100 meter dari kilang telah mula dirasakan sejak kilang ini beroperasi pada pertengahan tahun ini.

Mohd Ali Jamian, 45, mendakwa mereka sekeluarga kini berhadapan dengan masalah pernafasan terutama dua anak perempuannya yang berusia lima dan 11 tahun, yang terpaksa mengguna ubat sedutan.

“Sebelum ini memang saya ada menghidap penyakit jantung namun tidak serius, tetapi kali ini lebih memburukkan keadaan apabila saya juga mengalami masalah pernafasan menyebabkan lelah dipercayai akibat udara yang tidak sihat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Berlainan pula masalah yang dihadapi penduduk di Jalan Teluk Mengkuang, Teluk Panglima Garang yang terpaksa berhadapan dengan masalah pencemaran bau sejak bertahun-tahun yang lepas.

Seorang daripada penduduk yang hanya dikenali sebagai Leiw, 50an (lelaki) berkata, bau busuk itu dihidu hampir setiap hari sejak beliau mula mendiami kawasan berkenaan hampir lima tahun lepas.

Pada awalnya, beliau cuba mencari punca bau itu namun gagal sehinggalah pada awal November lepas menemui sebuah kilang menternak ayam dan memproses tahi ayam untuk dijadikan baja yang dipercayai menjadi punca bau busuk itu.

“Kebetulan saya melalui jalan di Teluk Mengkuang dan menemui sebuah kilang menternak ayam dan memproses tahi ayam yang terletak dua kilometer dari kawasan rumah saya di Taman Hormat.

“Saya percaya kilang ini tidak ada lesen dan terus membuat aduan ke Majlis Perbandaran Kuala Langat namun sampai sekarang tidak ada jawapan dan tindakan,” katanya yang berasa hairan bagaimana kilang seperti itu dibenar dibuka berdekatan dengan kawasan perumahan.

Impak pembukaan industri dan kilang-kilang di Kuala Langat ini turut memberi kesan kepada hidupan akuatik di Sungai Langat.

Semasa tinjauan Bernama di jeti Sungai Manggis, rata-rata penduduk mengeluh apabila hasil tangkapan mereka terjejas terutama sejak lima tahun kebelakangan ini.

Menurut Rosli Ismail, 50, hasil memancing dan menjala ikan seperti Keli, Siakap, Patin Buah, Lampam, Baung dan Udang Galah di Sungai Langat kini sangat berkurangan dan jauh berbeza berbanding sebelum ini.

“Sungai Langat ini adalah syurga udang galah…, dahulu hendak dapat empat ke lima kilo udang galah mudah sangat… Tapi sekarang nak dapat seekor pun susah.

“Terpaksa menyusuri sungai berjam-jam lamanya baru dapat seekor dua. Begitu juga dengan hasil ikan yang kini semakin berkurangan,” katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan darat di Sungai Langat sejak lebih 30 tahun.

Kekecewaan itu turut diluahkan, Rashid Mohd Arof, 58, yang turun mencari ikan dan udang di Sungai Langat sejak usia 16 tahun lagi.

Hidupan sungai sangat terancam sekarang dengan keadaan sungai yang semakin dicemari bukan sahaja sampah sarap tetapi juga sisa-sia daripada industri yang masuk ke Sungai Langat.

“Dahulu sungai bersih, sekarang sejak banyak kilang di sini semakin teruk keadaan Sungai Langat. Kalau mereka tidak buang sisa kilang ke sungai tak pe… ini mereka buang ke dalam sungai,” katanya.

Anak jati Sungai Manggis ini berkata, kira-kira 20 penduduk kampung yang mencari rezeki di Sungai Langat ini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya dengan hasil tangkapan sungai sebaliknya terpaksa melakukan dua atau tiga kerja lain untuk kelangsungan hidup.

(Disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS