Kejayaan Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 bergantung terhadap kemampuan gabungan itu mencari "naratif baru" yang menyuarakan isu kepentingan rakyat, kata Ahli Parlimen PKR Hassan Karim.
"Satu contoh, umpamanya di Sabah baru-baru ini di kawasan (DUN) bandar yang PKR dan DAP menang, kita lihat sokongan undi daripada masyarakat Cina terhadap calon PKR dan DAP masih kuat.
"Cuma pimpinan PH sekarang kena mengolah naratif politik baru.
"Kalau dulu kita kata jatuhkan Najib (Razak), tolak GST dan sebagainya, naratif itu sesuai pada waktu itu. Sekarang perlu ada yang baru. Kepada orang tidak bekerja (dibuang) macam mana? Mahasiswa menganggur, 500,000 tak bekerja bagaimana?
"Malindo Air buang pekerja dan juga isu ekonomi," katanya pada wawancara bersama akhbar parti Suara Keadilan.
Jelas Hassan naratif baru itu perlu meyakinkan rakyat terhadap kemampuan PH menyelesaikan cabaran penghidupan selepas wabak Covid-19.
"Kena bina naratif dalam keadaan masalah yang kita hadapi sekarang untuk memberi keyakinan kepada rakyat.
"Kalau rakyat nampak PH boleh memberi keyakinan maka mereka akan sokong," katanya.
Walaupun PN dapat mengelak usul undi percaya perdana menteri ketika sidang Dewan Rakyat yang baru berakhir, Hassan berkata kedudukan Muhyiddin Yassin dan Bersatu masih goyah menjelang PRU15.
"Perdana menteri (Muhyiddin) ini untuk menghadapi PRU akan datang dia bukan mewakili satu gabungan politik yang kuat.
"Telah diberitahu oleh Umno kerjasama ini sampai parlimen tamat tempoh.
"Kalau hadapi PRU, diperingkat PN, Muafakat Nasional dan BN ini, siapa yang boleh memimpin? Siapa akan jadi perdana menteri? Calon perdana menteri siapa," soalnya.
Tidak seperti parti-parti dalam PH yang mempunyai kerusi majoriti Melayu dan bukan Melayu serta kerusi campuran, Hassan menunjukkan Bersatu, Umno dan PAS sebahagian besarnya berkongsi asas sokongan yang sama daripada pengundi Melayu Islam.
Oleh itu, katanya, kejayaan PH untuk memperkuat sokongan pengundi Melayu, sambil meningkatkan kehadirannya di kawasan majoriti bukan Melayu, akan meningkatkan peluang kemenangannya pada PRU15.
Minggu lalu, dua pemimpin PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PH tidak perlu membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.
Ini selepas pembangkang gagal menolak Belanjawan 2021 sekali gus menjatuhkan Perikatan Nasional.
"PH harus berdepan dengan realiti ini. Perlu ada suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa," kata mereka.