Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes positif libatkan pesakit, petugas HTAR dan Hospital Serdang meningkat

Kes positif Covid-19 melibatkan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Serdang merekodkan pertambahan enam lagi kes hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dr Sha’ari Ngadiman berkata HTAR merekodkan empat kes positif Covid-19 membabitkan masing-masing dua kakitangan kesihatan dan pesakit manakala di Hospital Serdang pula pertambahan dua kes membabitkan kakitangan kesihatan.

“Keseluruhannya, di HTAR terdapat 143 kes positif melibatkan 62 kakitangan kesihatan dan 81 pesakit manakala di Hospital Serdang terdapat 65 kes keseluruhan melibatkan 37 kakitangan dan 28 pesakit.

“Kesemua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Dr Sha’ari, keadaan jangkitan Covid-19 di kedua-dua hospital berkenaan adalah terkawal dan sejumlah kakitangan yang tamat menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) telah kembali bertugas.

Dalam pada itu, dia berkata pihaknya masih menyiasat punca jangkitan berkenaan.

Jumaat lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 72 petugas HTAR sedang menjalani perintah HSO kerana jangkitan Covid-19 manakala di Hospital Serdang pula jangkitan itu membabitkan 29 petugas perubatan serta 28 pesakit dengan angka jangkitan di kedua-dua hospital itu terus meningkat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS