Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak sempat pindah, polis selamatkan penghidap buah pinggang

Polis berjaya menyelamatkan seorang penghidap penyakit buah pinggang yang terperangkap apabila kawasan rumahnya ditenggelami air di Kampung Kok Batu di Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

Mangsa Abdullah Mat Zain, 53, yang juga orang kurang upaya (OKU) tanpa sebelah kaki terpaksa menghubungi pihak berkuasa bagi meminta pertolongan selepas tidak dapat berpindah lebih awal kerana perlu menjalani rawatan dialisis di hospital.

Katanya, kawasan rumahnya mula dinaiki air sejak pagi semalam menyebabkan mereka sekeluarga terperangkap.

"Air naik terlalu cepat pada waktu tengah malam menyebabkan kami tak sempat berpindah.

"Jadi saya terpaksa menghubungi agensi keselamatan pada pagi ini untuk meminta bantuan, Alhamdulillah, anggota polis datang dengan cepat.

"Lebih-lebih lagi, saya tidak boleh berjalan selepas kaki dipotong sehingga paras lutut pada Februari lalu akibat komplikasi kencing manis dan perlu dibantu sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan anggota polis Balai Polis Rantau Panjang, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu mengakui kejadian itu bukan kali pertama memandangkan rumahnya terletak di kawasan agak rendah dan berisiko banjir setiap kali musim tengkujuh.

"Tahun lepas saya juga dibantu agensi keselamatan selepas rumah kami terperangkap dengan banjir. Bukan kami tak mahu berpindah, tetapi air naik dengan cepat.

"Dalam keadaan perlu menjalani dialisis tiga kali setiap seminggu, keadaan ini agak menyukarkan saya yang hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda," katanya yang tinggal bersama isterinya, Zakina Dollah, 46.

Abdullah berkata, dia sekeluarga sangat menghargai jasa pihak polis dan agensi keselematan yang prihatin terhadap keadaannya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang sudi menyelamatkan saya. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa mereka.

"Insya-Allah, saya jadikan pengalaman kali ini sebagai pengajaran dan akan berpindah awal jika musim tengkujuh melanda lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS