Jangkitan Covid-19 di negara ini terus mencatatkan empat angka dengan sejumlah 1,153 kes direkodkan setakat tengah hari tadi.
Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini adalah 15,294 kes, manakala jumlah terkumpul adalah sebanyak 91,969.
Selangor kekal melaporkan kes harian baru tertinggi iaitu sebanyak 401 kes (34.8 peratus), diikuti Kuala Lumpur sebanyak 281 kes (24.4 peratus) dan Sabah yang melaporkan sebanyak 199 kes (17.3 peratus).
Sebanyak 176 kes (15.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan kluster Tembok (80 kes).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan satu lagi kematian direkodkan, menjadikan angka korban akibat wabak itu kini adalah sebanyak 433.
"Sehingga kini, terdapat 112 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 56 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu lima lagi kluster baru dikesan iaitu kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah (Petaling Selangor), kluster Keris Residence (Kota Kinabalu dan Tuaran), kluster Jalan Timah (Johor Bahru dan Kulai di Johor), kluster Brumas (Kalabakan, Sabah) dan kluster Long Panji (Kota Bharu dan Machang, Kelantan).
Berikut jumlah kes baru Covid-19 di negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan:
Selangor: 401 kes
Kuala Lumpur: 281 kes
Sabah: 199 kes
Perak: 82 kes
Johor: 75 kes
Pulau Pinang: 30 kes
Wilayah Persekutuan Labuan: 19 kes
Negeri Sembilan: 18 kes
Pahang: 16 kes
Kedah: 13 kes
Kelantan: 10 kes
Putrajaya: Empat kes
Melaka: Tiga kes
Sarawak: Dua kes.