Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan S'gor tiada peranan untuk iktiraf PeKT - Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) yang ditubuhkan kementerian itu akan meneruskan tugas seperti biasa di Selangor walaupun mendapat bantahan kerajaan negeri.

Bercakap kepada Malaysiakini, Zuraida berkata kerajaan negeri tidak mempunyai peranan untuk mengiktiraf PeKT atau sebaliknya.

Ini setelah exco kerajaan negeri, Ng Sze Han berkata peranan anggota PeKT "hampir sama" dengan fungsi ahli majlis tempatan sedia ada.

Ng berkata kerajaan negeri tidak akan mengiktiraf pelantikan ahli PeKT di negeri ini untuk mengelakkan tiada percanggahan dengan peranan ahli majlis Selangor yang diperuntukkan di bawah Akta 171.

"Kerajaan Selangor tak ada peranan nak kata iktiraf atau tak, tak ada kena mengena. Ini adalah lantikan federal (kerajaan persekutuan) untuk kita menyantuni rakyat, jadi mereka sebagai pengantara antara kerajaan dan rakyat, dan ia juga bantu Selangor sebenarnya. 

"Tapi dia (kerajaan negeri tak iktiraf), tak jadi isu pada kita, jadi kita teruskan saja kerja," kata Zuraida dalam sidang media di Ampang hari ini.

Zuraida sekali lagi menegaskan peranan PeKT penting sebagai pengantara kerana mereka membawa dasar komuniti negara yang telah dilancarkan oleh kementerian itu pada 2019

"Kita merakyatkan polisi komuniti negara, tak guna buat dasar, tapi tak turun ke akar umbi.

"PeKT akan turun untuk memberdayakan komuniti B40 terutama di kawasan-kawasan flat yang kita lihat tak teratur dan terurus. 

"Ini antara aktiviti-aktiviti mereka kerana mungkin mereka dari kategori B40 berpendapatan rendah, tak ada peluang untuk melanjutkan pelajaran. Dan mereka dari working class yang sibuk, tak ada masa nak uruskan komuniti yang banyak ragam. Jadi mereka tak harus dibebankan dengan mengurus komuniti.

"PeKT membantu membimbing dan memimpin komuniti dan develop leadership komuniti di bawahnya," katanya.

Ketika ditanya apakah PeKT ditubuhkan bagi menarik lebih ramai anggota masyarakat menyertai Bersatu, Zuraida berkata perkara itu tidak sepatutnya menjadi masalah.

"Tak jadi masalah kalau mereka buat kerja dan melihat kalau orang buat kerja ni baik dan jujur, sudah tentu menarik minat dan hati kepada pengundi-pengundi," katanya.

Bulan lalu, Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari berkata PeKT akan mewakili kerajaan Perikatan Nasional di negeri yang ditadbir pembangkang dan anggotanya akan dibayar elaun sebanyak RM2,000 sebulan bagi perkhidmatan mereka.

Adun Selat Kelang itu juga dilaporkan berkata PeKT Selangor akan melantik 288 anggota yang akan dipilih dari parti PN.

Ahli parlimen pembangkang berpendapat tiada keperluan untuk menubuhkan PeKT dan mendakwa ia bertujuan untuk meneruskan agenda PN di negeri-negeri yang dipimpin pembangkang.

Bagaimanapun empat usul mereka untuk memotong peruntukan RM8.62 juta kepada PeKT gagal selepas ia tidak dilulusukan di Dewan Rakyat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS