Paling Popular
Terkini

Menteri telah mengeluarkan ketetapan ‘muktamad’ untuk menamatkan pengambilan pekerja asing di pasar borong Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, bagi pemegang taruh lain, masih terdapat beberapa perkara yang menjadi pertimbangan mereka.

Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur membangkitkan persoalan sama ada pekerja asing yang permit kerja mereka masih aktif sehingga tahun depan patut diberikan pengecualian sehingga tamat tempoh kebenaran.

Presidennya Wong Keng Fatt berkata terdapat faktor kos perlu diambil kira oleh majikan.

“Kos yang tinggi untuk mengupah pekerja tempatan memakan kos sekitar RM80 hingga RM100 sehari, RM3,000 sebulan,” katanya sambil membandingkan upah sehari bagi pekerja asing kira-kira RM50 hingga RM60 sehari.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak bimbang mengenai arahan Kementerian Wilayah Persekutuan memandangkan hampir setiap hari akan terdapat warga tempatan yang bertanyakan mengenai kerja kosong di situ.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata dia tidak akan menerima sebarang rayuan daripada pemborong yang ingin mengambil pekerja asing di pasar borong Kuala Lumpur.

Katanya, mulai tahun depan, hanya penduduk tempatan yang boleh diambil bekerja di situ.

Pada 23 Oktober lalu, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis supaya majikan mengambil pekerja tempatan dan memberi amaran kehilangan lesen perniagaan jika gagal mematuhinya.

Notis dua perenggan itu bagaimanapun tidak menyebut berkaitan status pekerja asing sedia ada.

Seorang pegawai DBKL hari ini memberitahu Malaysiakini pemborong tidak perlu memperbaharui permit pekerja asing mereka memandangkan bermula 1 Januari 2021 semua warga asing tidak dibenarkan bekerja di pasar borong.

Buat masa ini pun, katanya, hanya tinggal 16 orang sahaja pekerja asing dengan permit sah yang masih berkhidmat di situ.

“DBKL telah keluarkan surat kebenaran untuk mereka bekerja hanya sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

‘Basah, busuk, berat dan bahaya’

Sementara itu, Persatuan Pemborong Ikan Hoi Seong Kuala Lumpur berkata mereka akan bermasalah menggajikan pekerja tempatan selepas pandemik Covid-19 berakhir.

Presidennya Sing Kian Hock menggelar pekerjaan di pasar basah sebagai “4B - basah, busuk, berat dan bahaya”.

“Apa yang mereka (pemborong) minta adalah untuk membenarkan mengupah semula ataupun memperbaharui permit bekerja warga asing yang bekerja dengan mereka sebelum ini.

“Jika mereka perlu memberhentikan pekerja asing sah yang bekerja dengan mereka, ini bermakna mereka perlu melatih semula pekerja baru,” katanya yang berpendapat ia tidak adil kepada pemborong.

Sing Kian Hock 

Dia menjangkakan kira-kira 60 peratus hingga 70 peratus pekerja tempatan akan beralih sektor lain selepas ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Sayur Malaysia, Chong Tek Keong pula berharap kerajaan memberikan kelonggaran kepada pemegang kad pengenalan pemastautin tetap untuk bekerja di situ.

“Kita pun harap boleh bantu (warga tempatan) sebab ramai di luar sana warga Malaysia yang menganggur. Kita harap mereka boleh masuk kerja di pasar borong.

“Tapi kita menghadapi satu masalah, mereka kerja tak lama. Mungkin sebulan, dua bulan mereka letak jawatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS