Kerajaan digesa memperindah landskap sekitar kawasan Perigi Tujuh Serendah di Rawang sesuai dengan statusnya yang dipertimbang sebagai tapak warisan kebangsaan.
“Sebelum ini, taman rekreasi ini mempunyai pokok angsana namun sejak dua tahun ini, pokok-pokok tersebut dijangkiti penyakit dan merebak dengan pantas.
“Akhirnya pokok tersebut mati dan mereput dan mengakibatkan ia terpaksa dicantas demi keselamatan pengunjung.
“Oleh sebab itu, amat penting untuk menghidupkan semula landskap di kawasan ini agar dapat mengekalkan kesegaran di kawasan Perigi Tujuh ini,” kata Ahli Parlimen Hulu Selangor June Leow (bawah).
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata Perigi Tujuh Serendah disenarai antara 11 butiran di Selangor untuk kajian lanjut sebelum diwartakan sebagai tapak warisan, jika memenuhi kriteria.
“Pewartaan ini boleh memberi nilai tambah kepada tarikan sektor pelancongan, selain untuk memulihara, memelihara dan melindungi khazanah warisan yang terdapat pada tapak Perigi Tujuh tersebut,” katanya.
Leow berkata, Perigi Tujuh itu adalah kunci air peninggalan zaman pentadbiran Inggeris yang dibina lebih 100 tahun lalu.
Katanya, ia dibina untuk mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan petempatan Serendah.
“Walaupun 100 tahun lalu tiada jentera moden, tiada teknik kejuruteraan yang canggih, namun mereka mampu untuk menyelesaikan masalah banjir besar yang kerap berlaku.
“Yang lebih mengujakan, betapa berjayanya kejuruteraan pembinaan ini sehinggakan ia masih kekal berfungsi dengan baik sehingga ke hari ini.
“Oleh sebab itu, perlunya Perigi Tujuh ini diangkat sebagai warisan negara agar ia dapat dipelihara oleh pakar-pakar yang diiktiraf,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.