mk-logo
Berita
P Pinang akan warta hutan simpan kekal sebagai kawasan tadahan air
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Pulau Pinang akan mewartakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 3,790.54 hektar sebagai Hutan Tadahan Air di bawah Seksyen 10(1) (e) Akta Perhutanan Negara 1984.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada 2004, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mewartakan kawasan seluas 6,288.295 hektar sebagai Kawasan Tadahan Air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) 1998, Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan) tahun 2004.

Beliau berkata pewartaan kawasan tadahan itu meliputi Hutan Simpan Kekal seluas 3,565 hektar yang menyaksikan 70 peratus HSK di Pulau Pinang telah dikhususkan untuk tujuan perlindungan kawasan Hutan Tadahan Air sejak 2004.

"Pada 2 Dis lepas, mesyuarat MMK telah bersetuju untuk mewartakan Hutan Simpanan Kekal sebagai Kawasan Hutan Tadahan Air di bawah Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 di mana jumlah keluasan HSK untuk tujuan pewartaan ini turut bertambah sebanyak 5 peratus yang mana terdapat Hutan Simpanan Kekal lain yang tidak diwartakan di bawah EPA 1998 pada tahun 2004," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Chow berkata Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang kini dalam proses membuat pewartaan dan dijangka selesai disiar warta pada Jun 2021.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata isu itu timbul kerana pewartaan di bawah perundangan yang berbeza namun kedua-duanya mempunyai tujuan sama iaitu mewujud dan memelihara kawasan sebagai tadahan air untuk menjamin bekalan air.

"Pulau Pinang merupakan negeri yang terawal berbanding negeri lain di Semenanjung yang mewartakan kawasan tadahan airnya di bawah Enakmen Pembekalan Air Negeri yang mana meliputi kawasan hutan simpanan kekal pada tahun 2004," katanya

Selasa lepas, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Pulau Pinang segera mewartakan kawasan tadahan air bagi menjamin sumber bekalan pada masa depan.

Tuan Ibrahim berkata setakat ini, tujuh negeri di Semenanjung termasuk Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu sudah mewartakan 100 peratus kawasan tadahan air seperti dicadangkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS