Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hasnul Zulkarnain dapat 'pujian' bekas MB Perak
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Ahmad Faizal Azumu hari ini dilaporkan 'memuji' Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim kerana menunjukkan kualiti sebenarnya baru-baru ini.

Menurut bekas menteri besar Perak itu lagi bekas ketua Pemuda Amanah itu juga seorang yang "terlalu pandai bercakap".

Menegur Hasnul Zulkarnain lagi Ahmad Faizal berkata apabila seseorang itu menganggotai mana-mana parti, mereka tidak boleh berharap parti akan menatang ahli.

Sebaliknya kata Ahmad Faizal ahlilah yang mesti menatang perjuangan parti.

Justeru katanya sebagai seorang ahli politik yang bertukar parti beberapa kali dalam tempoh lapan bulan lalu, 'kualiti' yang ada pada Hasnul Zulkarnain dapat dilihat.

"Itu saya selalu pesan, jangan terlalu bagi sokongan kepada orang yang terlalu pandai bercakap," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Nama Hasnul Zulkarnain - yang menyertai Bersatu selepas kejatuhan kerajaan PH Perak baru-baru ini - sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila dituduh tidak memberikan undi percaya kepada Ahmad Faizal walaupun Adun Chenderiang itu adalah timbalan presidennya.

Dia juga didakwa menandatangani perakuan sumpah untuk menyokong Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad dilantik menjadi menteri besar baru negeri itu bagi menggantikan Ahmad Faizal.

Hal itu kemudian diakui sendiri Hasnul Zulkarnain beberapa hari lalu.

Untuk memberikan justifikasi kepada langkahnya itu,Hasnul Zulkarnain mendakwa Bersatu memberikan gambaran bahawa kehadirannya dalam parti itu tidak diperlukan

Katanya tiada ruang dibuka untuknya dalam Bersatu di pelbagai peringkat.

Namun perkara itu dinafikan oleh Setiausaha Bersatu Perak Zainol Fadzi Paharuddin menafikan dakwaan dan mengaku dia secara peribadi berusaha melibatkan Adun terbabit dalam kepimpinan Bersatu Parit Buntar.

"Tetapi kena fahamlah juga, dalam politik ini ketua bahagian pun juga ada pasukan sendiri, tetapi ada cadangan pelantikan jawatankuasa peringkat bahagian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS