Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
APM Kelantan tangkap hampir 8,000 ular tahun ini
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 2:17 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan merekodkan 7,817 kes tangkapan ular pelbagai spesies sepanjang tahun ini.

Pengarahnya, Zainuddin Hussin berkata, ular paling besar berjaya ditangkap adalah seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dengan berat hampir 100 kilogram (kg) di sebuah kebun getah di Kampung Lawar, Jeli, pada 3 Jun lalu.

Beliau berkata seramai enam anggota berjaya menangkap ular sawa itu selepas menerima aduan penduduk kampung dan ia merupakan spesies terbesar pernah ditangkap oleh APM setakat bulan lalu.

Zainuddin berkata pada banjir gelombang pertama mulai 1 Disember lalu, sebanyak 177 ekor ular pelbagai spesis turut dapat ditangkap, hasil aduan penduduk.

Berdasarkan statistik, katanya, Kota Bharu adalah daerah yang paling banyak dilakukan tangkapan ular iaitu 2,180 ekor dan diikuti Bachok (834), Tanah Merah (766) dan selebihnya adalah di Pasir Puteh, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Tumpat, Jeli, Machang dan Rantau Panjang.

Katanya, antara spesis ular yang berjaya ditangkap selain ular sawa adalah ular tedung senduk, tedung selar, sawa tikus dan ular kapak.

"Kesemua ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan lanjut," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS