Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP pembangkang, kerajaan sepakat mahu usul gangguan seksual dibahas
Diterbitkan:  Dec 17, 2020 11:57 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

PARLIMEN | Satu petisyen dalam bentuk rayuan dihantar ke Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat untuk perhatian Yang Dipertua Azhar Harun berhubung akta baru bagi menangani jenayah gangguan seksual pada sidang akan datang.

Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) berkata petisyen mengikut peraturan mesyuarat 19 itu adalah rayuan daripada 512 rakyat Malaysia yang meminta agar Dewan Rakyat mengambil maklum isu tersebut dan membahaskannnya.

"Mereka meminta agar majlis mesyuarat mengambil maklum tentang satu per tiga wanita daripada enam lelaki di Malaysia mengalami ganguan seksual, dan terdapat kelemahan serius dalam undang-undang sedia ada bagi menangani gangguan seksual.

"Akibat kelemahan undang-undang, pemandiri tersekat untuk mendapatkan keadilan dan pemangsa dapat mengelak daripada tindakan undang-undang, manakala undang-undang sedia ada bukanlah penghalang kepada gangguan seksual.

"Oleh itu, saya ingin mengemukakan satu usul bagi mencadangan supaya rayuan ini dibacakan. Saya memohon agar usul berhubung perkara ini dikemukakan dan diputuskan oleh yang dipertua pada satu tarikh yang sesuai agar RUU ini dapat dibentangkan dan dibahaskan pada sidang yang akan datang," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Kasturi, undang-undang dan polisi sedia ada berhubung perkara tersebut perlu diperbaiki yang antara lainnya merangkumi empat ciri utama yang dinyatakannya.

"Pertama, satu definasi gangguan seksual lebih jelas dan lengkap digunakan yang memberikan perlindungan daripada gangguan visual, psikologi dalam talian, lisan dan fizikal.

"Kedua, kes gangguan seksual diputuskan atas prinsip imbangan kebarangkalian yang lebih bersifat kemanusiaan.

"Ketiga, pertubuhan awam dan swasta wajib mengamalkan piawaian dan mekanisme pengawasan yang lebih minimun.

"Keempat, satu tribunal khas ditubuhkan untuk antara lain memudahkan kes-kes gangguan seksual diadili menerusi prosuder sivil dengan dasar kos minimum," katanya.

Kasturi berkata perayu yang menandatangani rayuan tersebut juga memohon majlis mesyuarat mengambil maklum bahawa gangguan seksual adalah masalah yang kritikal yang menggugat keselamatan warganegara dan Malaysia.

"Perayu-perayu juga memohon majlis mesyuarat untuk menuntut agar kerajaan membentangkan dan membahaskan undang-undang yang baru pada sesi parlimen akan datang bagi mengatasi kelemahan dan kekurangan undang undang sedia ada untuk memastikan keadilan ditegakkan bagi mangsa gangguan seksual," katanya.

Katanya, lebih 17,500 rakyat Malaysia menandatangani sokongan mereka untuk rang undang-undang itu dibahaskan.

"Mustahak untuk perkara ini diberikan kepentingan yang sewajarnya yang akan melindungi mangsa gangguan seksual dan memastikan keadilan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara dan diperjuangkan," katanya.

Petisyen tersebut turut disokong oleh Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan (BN).

"Saya mohon menyatakan bahawa sokongan kepada kenyataan Batu Kawan mengenai akta baru menangani jenayah gangguan seksual pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Ini perkara baik dan merentasi isu politik," katanya.

Mengesahkan menerima petisyen itu, Azizan berkata pihaknya mengambil maklum dan akan memberikan jawapan bertulis menteri berhubung perkara tersebut selain akan menelitinya.

"Saya juga sekarang sedang menimbangkan petisyen tersebut dan saya juga ingin menyatakan bahawa isu mengenai akta ini telah ditanya dan dijawab oleh menteri.

"Saya juga mempunyai satu jawapan bertulis berhubung penjelasan daripada pihak menteri mengenai yang akan saya berikan kepada yang berhormat berdua nanti dan saya akan teliti petisyen ini sama ada ia mematuhi peraturan atau tidak dan saya akan menjawabnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS