Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian: Kawalan pergerakan beri kesan kecil, langkah pencegahan lain memadai
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 7:04 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Pencegahan awal yang dilaksanakan kebanyakan negara bagi membendung penularan Covid-19 adalah mengenakan perintah wajib duduk di rumah, termasuk Malaysia yang melakukan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, analisis baru mendedahkan, sekata pergerakan hanya memberi impak kecil berbanding langkah-langkah lain yang diperkenalkan oleh pelbagai kerajaan.

Menurut kertas kajian yang diterbitkan oleh jurnal Science semalam, antara langkah pencegahan paling efektif membendung penularan Covid-19 adalah dengan tidak membenarkan perhimpunan melebihi 10 orang.

Usaha itu malah dapat mengurangkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) sebanyak 42 peratus.

Penutupan sekolah dan juga universiti mengurangkan Rt sebanyak 38 peratus dan merupakan antara langkah pencegahan kedua paling efektif, menurut kajian analisis tersebut.

Menutup perniagaan berisiko tinggi seperti restoran, kelab malam, panggung wayang dan gimnasium mengurangkan Rt sejumlah 18 peratus manakala menutup perniagaan kurang penting dan tidak bersemuka juga dapat merendahkan kadar itu sehingga 27 peratus.

Apabila semua usaha tersebut diperkenalkan, langkah mewajibkan rakyat untuk duduk rumah dan hanya keluar bagi bekerja atau membeli barang hanya dapat melanjutkan pengurangan Rt kepada 13 peratus lagi.

Pakar penyelidik tidak mengambil kira kesan arahan duduk di rumah semata-mata, kerana langkah itu selalunya dilaksanakan bersama langkah pencegahan lain, yang mana menyukarkan untuk melihat keberkesanannya.

Kesan penutupan sekolah dan universiti juga tidak dianalisis secara berasingan namun disatukan dalam kajian ini sebagai satu langkah pencegahan bersama.

Namun demikian, para penyelidik mengambil maklum bahawa tiada satu langkah pencegahan tunggal yang berhasil membendung penularan Covid-19 sehingga membawa Rt di bawah tahap satu, sebaliknya pelbagai usaha lain diperlukan bagi menurunkan kadar tersebut.

“Anggaran Rt kemungkinan dapat turun ke bawah satu dengan menutup sekolah dan universiti, perniagaan berisiko tinggi dan mengehadkan perhimpunan hanya kepada 10 orang,” tulis penyelidik itu.

Gabungan ketiga-tiga usaha pencegahan itu dapat mengurangkan Rt kepada 70.6 peratus.

Sekiranya kadar R-naught (R0) 3.3 ketika tiada usaha dilakukan untuk mengekang wabak itu, kombinasi langkah itu dapat mengurangkan kadar Rt kepada 0.97.

Untuk rekod, R0 dan Rt adalah satu cara yang digunakan untuk mengukur kadar kebolehjangkitan, dengan R0 mengandaikan populasi yang tidak mempunyai imuniti terhadap wabak itu sebelum ini.

Sekiranya kadar R0 berada pada 3.3, ia bermaksud setiap 100 yang dijangkiti, akan ada 330 orang lagi yang akan terkesan untuk jangkitan generasi kedua.

Mengurangkan kadar Rt kepada 0.97 bermaksud hanya 97 masyarakat yang akan terkesan, hal ini juga akan menyebabkan saiz penularan kecil dari awal 100 yang dijangkiti.

Berdasarkan laman web kementerian kesihatan Malaysia (KKM), Rt dianggarkan pada kadar 1.06 setakat 14 Dis, bermakna ia menunjukkan penularan wabak di mana setiap 100 orang yang dijangkiti, 106 lagi kemungkinan turut terjangkit.

Sementara itu, penyelidik turut membangunkan kalkulator dalam talian erdasarkan dapatan kajian mereka bagi rujukan pihak berwajib.

Kajian dilakukan bagi menganalisis langkah pencegahan yang paling biasa dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19 oleh 41 negara sepanjang tahun ini sehingga akhir Mei.

Kebanyakannya dari negara Eropah, namun Malaysia, Singapura, New Zealand dan Mexico juga turut terlibat.

Pakar penyelidik turut mengambil maklum jurang masa ketika kawalan pergerakan dilaksanakan atau ditamatkan oleh kerajaan serta jumlah kes harian dan kematian ekoran Covid-19 selepas itu.

Namun, penyelidik memberi peringatan bahawa dapatan kajian mereka tidak boleh dianggap muktamad berhubung keberhasilan usaha terbabit. Mereka juga menasihati supaya mendapatkan pertimbangan pakar.

Antara lain, pakar itu turut berkata, kadar kebolehjangkitan itu boleh dikurangkan lagi dengan usaha yang tidak dianalisis dalam kajian mereka, seperti contoh, memakai pelitup muka.

Sementara itu, penyelidik juga berkata dapatan kajian mereka tidak dapat menganggarkan kesan melonggarkan usaha terbabit.

“Sebagai contoh, menutup sekolah dan universiti didapati dapat mengurangkan penularan tetapi ia tidak bermakna membuka kembali akan meningkatkan kesan jangkitan.

“Institut pendidikan boleh melaksanakan usaha pencegahan seperti mengurangkan saiz kelas ketika membuka kembali,” tulis mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS