Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Al Jafree 'musykil' Finas nak jadikan Syahmi ikon pengarah muda

Pengarah filem dan penulis skrip Al Jafree Md Yusop mempersoalkan kewajaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mahu mengangkat pencipta karya Mael Totey The Movie sebagai ikon pengarah muda.

Kata Al Jafree, dia melihat pengumuman itu dibuat dengan terburu-buru selain tidak mempertimbangkan nama pengarah lain yang dirasakan lebih sesuai berdasarkan kualiti dan kredibiliti mereka dalam bidang perfileman.

“Finas hantar Roh - filem yang diarahkan Emir Ezwan - untuk ke Oscar, tiba-tiba pengerusinya (yang sah bukan cinephile) bercadang nak angkat Syahmi Sazli sebagai ikon pengarah muda.

“Boleh sesiapa tolong jelaskan kat aku? Sebab apa dia (Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid) buat keputusan tu dan apa rasionalnya?

“Banyak lagi nama lain boleh dipertimbangkan sebagai calon ikon pengarah muda seperti pengarah siri animasi Ejen Ali, Muhammad Usamah Zaid Yasin,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Al Jafree mempertikaikan keputusan tersebut di media sosial. Pada hantaran sama, pengarah filem Mencari Rahmat itu turut menyatakan kesediaannya untuk berdebat hal-hal berkaitan perfileman (cinephile) dengan Zakaria.

Perkongsian tersebut menuai perhatian antaranya pengarah Shamaine Othman yang secara sinikal menyifatkan filem mencecah pecah panggung menjadi penanda aras dalam pemilihan tersebut.

Sebagai pengiktirafan kepada anak-anak muda, Finas mengumumkan Syahmi bakal dijadikan sebagai ikon pengarah muda selepas bintang YouTuber bertukar pengarah itu mengutip RM7 juta melalui filem pertama arahannya Mael Totey The Movie.

Antara faktor lain, usaha Syahmi turut diiktiraf kerana pengarah berusia 25 tahun itu mengangkat bakat orang kelainan upaya (OKU) dalam filem yang dihasilkannya itu serta dia membuktikan kejayaannya tanpa meminta bantuan pihak lain termasuk Finas. 

Menurut Al Jafree, sebagai seorang yang bertanggungjawab mentadbir badan yang berfungsi membangunkan Finas, Zakaria wajib arif hal-hal berkaitan perfileman.

"Jika tak tahu mana baik dan buruk macam mana nak bangunkan industri tu?

“Saya bukan apa, cuma mahukan justifikasi kenapa Syahmi yang dipilihnya. Sebab apa dan atas kapasiti apa dia sebagai pengerusi buat kenyataan tu?

“Dan bahagian saya kata pengerusi bukan cinephile dan boleh berdebat dengan saya bila-bila masa. Pengerusi kalau nak berdebat dengan saya pun tak ada hal. Silakan!” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zakaria bagi mengulas berhubung isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS