Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohamad Ali dilantik timbalan speaker Dewan Negara
Diterbitkan:  Dec 16, 2020 12:03 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dimasyhur sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara hari ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali, 56, merupakan calon tunggal yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, usul pencalonan Mohamad Ali dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili Perdana Menteri mengikut Peraturan Mesyuarat 5 (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Usul itu disokong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Shabudin Yahaya.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu itu adalah bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad yang tamat penggal perkhidmatan pada 22 Nov lepas.

Usul pencalonan Mohamad Ali pada awalnya dibantah Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid yang bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 2, mempertikaikan mengapa perdana menteri yang bukan merupakan Ahli Dewan Negara mengemukakan pencalonan itu.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim memaklumkan isu sama pernah dibangkitkan sebelum ini semasa pencalonan beliau sebagai calon Yang Dipertua Dewan Negara pada persidangan lepas .

“Barang siapa yang mengemukakan pencalonan sama ada oleh Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis atau seorang Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat, maka ia dianggap layak mengemukakan pencalonan, maka usul ini diterima pakai sebagai sah.

“Maka pandangan Yang Berhormat itu tidak dapat diterima, sehubungan itu proses dan prosedur pada pagi ini diteruskan,” katanya.

Mohamad Ali, yang dilantik sebagai Senator pada 20 Mei lepas, kemudiannya mengangkat sumpah jawatan di hadapan Rais.

Selain Mohamad Ali, turut mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara ialah Dr Nuing Jeluing, Datuk Paul Igai, dan Datuk Guan Dee Koh Hoi.

Nuing dan Paul dipilih semula sebagai Senator Dewan Negara bagi penggal kedua, masing-masing atas lantikan semula Dewan Undangan Negeri Sarawak dan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Guan Dee yang merupakan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), adalah lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS