Walaupun Belanjawan 2021 lulus undian di Dewan Rakyat hari ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berpendapat hal tersebut tidak banyak menambah keyakinan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
"Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.
"Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Presiden PKR itu juga mendakwa Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN "hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat."
Dia juga menyatakan kekecewaannya kerana beberapa anggota parlimen telah menyuarakan keraguan terhadap belanjawan tersebut tetapi tetap mengundi menyokongnya.
BACA BERKAITAN: Belanjawan 2021 lulus dengan majoriti tiga undi
"Walaubagaimanapun, oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, maka terdapat sejumlah ahli parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini, meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN.
"Adalah dikesalkan juga tatkala terdapat beberapa orang ahli parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut,” katanya.
RUU Perbekalan 2021 lulus dengan 11 undi menyokong dan 108 membantah.
Anwar selanjutnya berkata dengan lulusnya Belanjawan 2021 maka menandakan negara sedang "kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap."
"Semasa perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai ahli parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak, terutamanya isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP, peruntukan yang melampau tinggi sebanyak RM45 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukkan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit," jelasnya.
Bagaimanapun, kata Anwar banyak masalah yang dibangkitkan masih belum dapat diatasi. Katanya, inilah sebab ahli parlimen pembangkang sebulat suara membantah RUU perbekalan itu.
"Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara, dan tahap tatakelola yang membimbangkan.
"Prestasi dan markah tatakelola Malaysia turut melemah pada tahun ini, seperti yang dilaporkan Bank Dunia, dan dijangka aspek lain seperti indeks rasuah dan kebebasan media akan turut merudum.
"Keyakinan daripada para pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan, terutamanya sektor ekonomi dan pembangunan," katanya lagi.