Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes rasuah minyak: Pengarah agensi penguat kuasa direman 4 hari

Dua individu termasuk seorang pengarah agensi penguat kuasa direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes skandal rasuah berhubung kelulusan dan pengecualian khas kepada beberapa syarikat untuk membawa Minyak Gred Berat di perairan negara.

Pengarah agensi penguat kuasa tersebut direman selama empat hari bermula hari ini hingga 18 Dis manakala seorang pengarah syarikat direman lima hari hingga 19 Dis bagi membantu siasatan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber SPRM, kedua-dua lelaki berumur antara 50 dan 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara pukul sembilan hingga 12 malam, semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Katanya, antara 2019 hingga 2020, pengarah agensi kerajaan tersebut disyaki telah menerima suapan secara bulanan daripada pengurus syarikat perkapalan sebagai balasan tidak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal yang menjalankan aktiviti pengisian minyak di perairan negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, seorang Timbalan Ketua Pengarah bergelar ‘Datuk’ yang direman Jumaat lepas (11 Dis 2020) bagi kes yang sama, disambung reman tiga hari sehingga 18 Dis (Jumaat) ini.

Sementara, empat suspek termasuk Setiausaha Bahagian sebuah jabatan kerajaan dan pengarah syarikat bergelar ‘Datuk Seri’ yang direman sebelum ini pada tarikh sama, dilepaskan dengan wang jamin antara RM9,000 hingga RM15,000.

Mereka adalah antara lima individu yang direman Jumaat lepas bagi kes sama yang telah direman lima hari bermula 11 Dis hingga 15 Dis.

SPRM berkata berdasarkan siasatan, kedua-dua pegawai kanan kerajaan itu dipercayai menyalahguna kedudukan dan kuasa mereka untuk mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat tertentu tanpa pengetahuan dan kelulusan Menteri Pengangkutan.

Katanya, perbuatan itu juga dilakukan tanpa pengetahuan Ketua Pengarah jabatan berkenaan yang sebelum ini mengeluarkan surat arahan larangan penggunaan Single Hull, Double Bottom (struktur kapal) dalam mengangkut minyak gred berat di perairan Malaysia.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS