Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Helah sorok 10kg syabu dalam bungkusan teh Cina terbongkar

Helah seorang lelaki menyembunyikan kira-kira 10.3 kilogram (kg) dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM488,788 di dalam bungkusan teh cina terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di depan sebuah restoran di Genting Highlands di Bentong, Khamis lepas.

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata lelaki berumur 48 tahun itu ditahan kira-kira 7.45 malam semasa berada di dalam kereta dan dipercayai ia sebahagian daripada sindiket pengedaran yang lebih besar.

"Suspek dipercayai menyembunyikan dadah berkenaan di dalam 10 bungkusan teh cina bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum disorokkan di dalam sebuah beg berwarna hitam.

"Kita percaya suspek aktif mengedar di sekitar Bentong dan Kuala Lumpur sejak enam bulan lepas, dengan dadah berkenaan diperoleh dari luar negara," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong hari ini.

Abd Jalil berkata dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh dijual kepada 20,776 penagih.

Suspek yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu turut mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk tujuh melibatkan kesalahan dadah selain ujian urinnya juga didapati positif.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula 11 Dis lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika disabit kesalahan.

"Berdasarkan tangkapan ini, kita tidak menolak kemungkinan penjenayah mula menggunakan tempat peranginan di negeri ini bagi melakukan kegiatan mereka.

"Sehubungan itu, kita meminta pemilik atau pengusaha pusat peranginan membuat aduan jika mengesyaki ada berlaku kegiatan jenayah selain orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat sebagai usaha membasmi jenayah," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS