Dunia kini mencatatkan sejumlah hampir 72 juta kes Covid, 1.61 juta kematian dan 47 juta orang telah pulih. Berdasarkan negara, AS mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi setakat ini dengan 16.2 juta kes dan dengan 298,000 kematian.
Sebaliknya, pusat wabak sebelumnya - Wuhan khususnya dan China umumnya - telah menangani wabak ini dengan amat baik.
Tidak ada lagi wabak di sana dan kehidupan serta kegiatan ekonomi kembali biasa.
Apa pengajaran yang dapat kita pelajari sejauh ini secara sejagat?
Saya percaya bahawa rahsia kejayaan China untuk mengatasi wabak ini bukan hanya daripada sumber kewangan, teknologi dan perubatan canggih yang mereka miliki, tetapi kepercayaan dan amalan mereka terhadap nilai tanggungjawab bersekutu dan peraturan Asia, bahawa kepentingan masyarakat mesti selalu didahulukan sebelum kepentingan peribadi.
Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaan mereka yang luar biasa. Sebaliknya di AS konsep kebebasan peribadi bagi kebanyakan orang di sana mungkin agak melampau sehingga seluruh masyarakat menderita kerananya.
Contoh klasik mengenai hal itu adalah penolakan mereka untuk melakukan penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak, yang diakui dikaitkan ramai pakar dengan jumlah jangkitan dan kematian yang sangat tinggi di sana.
Malaysia setakat 13 Dis ini mencatatkan sejumlah 83,475 kes, 415 kematian dan 69,393 orang pulih.
Ekonomi harus diberi keutamaan
Kita tidaklah begitu teruk mengendalikan wabak ini. Sekali lagi, saya ingin memberi penghargaan kepada barisan hadapan kita dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dan penguatkuasaan langkah-langkah kawalan, termasuk PKP.
Peningkatan jangkitan baru-baru ini disebabkan oleh kurangnya persediaan dan langkah-langkah kawalan yang berkaitan dengan pilihan raya negeri Sabah pada 26 Sept dan daripada pekerja asing dan pendatang tanpa izin.
Keluk nampaknya telah merata tetapi kita harus berwaspada dan bersiap sedia untuk menghadapi gelombang pada masa depan.
Kebimbangan saya sekarang adalah dalam empat bahagian:
Pertama, sebarang jenis PKP harus lebih disasarkan ke atas kawasan tertentu dan kawasan lain yang tidak terjejas harus dibiarkan. Ini untuk mengurangkan gangguan kegiatan ekonomi. Meningkatkan ekonomi kita harus diberi keutamaan yang lebih besar mulai sekarang.
Kedua, kita harus melakukan lebih banyak lagi untuk membantu rakyat yang lebih miskin dan lemah, yang menghadapi kesukaran yang teruk, ramai antaranya tanpa pekerjaan dan mempunyai kepayahan untuk memberi makan kepada keluarga mereka.
Kita mesti melakukan apa sahaja untuk memastikan bahawa tidak ada yang kelaparan, walaupun sehari. Kelaparan, jika ia berlaku, adalah dosa terbesar masyarakat kita dan kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan bahawa perkara ini tidak boleh berlaku.
Ketiga, kerajaan harus lebih berhati-hati mendapatkan vaksin yang selamat dan berkesan, yang juga sesuai untuk iklim panas dan tropika kita.
Keprihatinan utama saya di sini adalah mengenai vaksin Pfizer mRNA yang menggunakan teknologi baru dan mesti disimpan pada suhu bawah 80 darjah Celsius.
Ini digunakan pada manusia sekarang untuk pertama kalinya (di UK setakat ini) dengan ujian klinikalnya dilakukan dengan sangat tergesa-gesa.
Vaksin - tidak seperti ubat biasa - diberikan kepada orang yang sihat, termasuk kanak-kanak. Oleh itu, segi-segi keselamatan jangka panjang mesti ditangani dengan betul.
Saya juga diberitahu bahawa kita tidak mempunyai cukup kemudahan penyimpanan khusus, kemampuan logistik yang rumit, prasarana maklumat teknologi dan pemantauan, dan kakitangan kesihatan terlatih khusus, untuk melakukan pelalian umum vaksin Pfizer pada 6.4 juta orang di seluruh negara.
Saya mendesak pemerintah untuk mempertimbangkan semula perjanjian Pfizer ini.
Keempat, banyak sekolah dan universiti ditutup dan perangkaan mengenai perkara ini nampaknya kekurangan.
Saya sangat prihatin kerana guru-guru yang diminta untuk mengajar dalam talian mungkin tidak terlatih untuk melakukannya.
Langkah membanteras rasuah
Terdapat juga banyak kawasan luar bandar yang tidak mempunyai capaian Internet dan ada alasan yang kuat sekarang bagi kerajaan untuk melakukan lebih banyak perkara untuk merapatkan jurang maya.
Secara umum telah dirasakan bahawa rasuah terjadi terutama di bidang kerajaan disebabkan oleh orang tamak dan tidak jujur yang berkuasa serta berpengaruh untuk menganugerahkan kontrak dan membuat perjanjian lain.
Ramai ahli politik kerajaan dan penjawat awam mengadu mereka sering dianggap sebagai satu-satunya sasaran amalan rasuah. Ini tidak adil. Bagaimana dengan rasuah di bidang swasta?
Ya, jabatan-jabatan yang berkenaan harus memberikan perhatian yang lebih besar untuk memerangi rasuah di bidang swasta. Tetapi kesukaran ini, mungkin lebih buruk lagi di bidang swasta, adalah mendapatkan bukti untuk menuduh sesiapa sahaja.
Kaedah perundangan kita - kebanyakannya berasal dari Barat - adalah menjadi beban pihak berkuasa untuk memperolehi bukti kuat sebelum seseorang boleh didakwa.
Saya meminta orang ramai memahami kesukaran yang dihadapi oleh jabatan-jabatan kita menuduh orang yang melakukan rasuah.
Kerjasama mereka yang berpengalaman di bidang swasta untuk tampil melaporkan dan memberikan bukti sangat penting untuk keberhasilan setiap kes yang dapat diadili.
Kita juga harus mencari cara yang lebih berdaya cipta tetapi sah, mungkin menggunakan undang-undang yang sedia ada atau menggubal undang-undang baru jika perlu bagi menghalang dan mencegah rasuah dengan meningkatkan peluang kejayaan dalam pendakwaan kes rasuah.
Satu lagi bidang yang menjadi perhatian saya ialah perlunya garis panduan dan melaksanakan peraturan mengenai pemberian sumbangan kepada parti politik, badan bukan kerajaan dan media dari badan-badan tempatan dan asing untuk mencegah rasuah politik dan kedaulatan negara kita daripada ditolak ansur.
Apa saja yang dilakukan, kita mesti dilihat berlaku adil dan saksama, dan jabatan yang berkenaan mesti bertindak secara bebas, tanpa rasa takut atau pilih kasih.
TENGKU RAZALEIGH HAMZAH ialah ahli parlimen Gua Musang dan pengerusi Jemaah Penasihat Umno.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.