Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Slogan 'no Anwar no DAP' tak mesti relevan setiap masa - Puad
Diterbitkan:  Dec 14, 2020 10:03 PM
Dikemaskini: 4:01 PM

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Puad Zarkashi hari ini berpendapat slogan "no Anwar no DAP" yang diterima parti itu tidak semestinya relevan sepanjang masa kerana senario politik negara berubah-ubah.

Katanya slogan berkenaan - yang dilihat orang ramai berupa penegasan untuk menolak kerjasama Umno dengan Pakatan Harapan (PH) hanya digunakan beberapa pemimpin parti yang berjawatan dalam kerajaan.

Menurutnya pemimpin terbabit berpendirian begitu kerana mereka tidak mahu melihat kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

"Apakah mereka ini nasionalis dan agamawan tulen? Biar ahli dan rakyat menilai sama ada mereka hipokrit atau tulen.

"Maaf kalau kritikan ini keras dan pedas, tetapi saya tidak mohu menoleh ke belakang. Saya tidak apologatik dan takut dikecam.

"Nak marah marahlah. Saya yakin masih ramai yang bersetuju dengan saya tetapi mereka simpan di dalam hati," katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Ia muncul beberapa ketika selepas dua ahli politik veteran Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah mengadakan sidang media pertama dengan memberi bayangan kerajaan PN mungkin tumbang esok.

Kenapa mesti takut

Kata Puad pemimpin Bersatu juga 'tumpang semangkuk' menggunakan slogan "no Anwar no DAP" itu namun digunakan untuk menyerang Umno kerana didakwanya parti itu takut dan rasa terancam jika wujud kerjasama berkenaan.

"Benar, no Anwar no DAP adalah keputusan MT Umno. Annuar Musa guna slogan ini untuk pertahankan PN.

"Sebagai ahli MT saya pula tidak mahu Umno terlalu rigid," katanya lagi.

Menurut Puad isu yang ditimbulkan bukanlah mengenai Umno membentuk gabungan baru sebaliknya kerjasama politik sama seperti ketika PH menyokong usul Umno di Perak untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar.

Ahmad Faizal Azumu

"Umno pun bukan ahli PN. Muafakat Nasional (yang menghubungkan Umno dengan PAS) juga belum daftar," katanya.

Tambah Puad lagi Umno harus bersikap terbuka dalam kerjasama politik.

"DAP dan PKR pernah sokong usul tergempar Umno dalam parlimen bila membantah serangan Israel di Palestin," katanya lagi.

Justeru kata bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu Umno wajar mempelopori kerajaan perpaduan di Perak demi kepentingan rakyat.

"Maka jika perlu, apa salahnya kerajaan perpaduan bermula di Perak? Umno mesti berani mempeloporinya demi kelangsungan rakyat. Kenapa mesti takut," katanya.

Untuk rekod dua hari lalu, Annuar yang juga setiausaha agung BN mendedahkan terdapat usaha mengubah pendirian Umno untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

"Konspirasi menggagalkan dasar 'tolak Anwar dan DAP' (No Anwar, no DAP) sedang berjalan," kata Annuar.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS