Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendiriannya untuk menolak bekerjsama dengan bekas perdana menteri Najib Razak bagi membentuk kerajaan baru.
"Kerja dengan Najib? Saya minta maaf saya tak boleh," katanya pada sidang media khas bersama Tengku Razaleigh Hamzah di Kuala Lumpur hari ini.
Kata Mahathir dia pernah dijemput untuk menjadi perdana menteri di luar Pakatan Harapan (PH) menjelang kejatuhan gabungan itu pada awal tahun lalu namun disebabkan ia bergantung kepada Najib, saranan itu ditolaknya.
"Tapi Muhyiddin kata dia boleh terima," katanya merujuk kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Kata Mahathir pendiriannya juga sama terhadap ahli parlimen Umno dan BN yang mempunyai kes mahkamah.
Jelas Mahathir lagi dia menyertai pembangkang sebelum ini kerana ingin menumbangkan kerajaan kleptokrat pimpinan Najib.
Mahathir selaku pengerusi Bersatu menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu secara kolektif gabungan terbabit berjaya mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pusat serta hampir semua negeri.
Bagaimanapun kerajaan PH di Putrajaya itu dijatuhkan melalui Langkah Sheraton yang menyaksikan Muhyiddin membawa Bersatu meninggalkan gabungan dengan PKR, Amanah dan DAP.
Beberapa ahli parlimen PKR pula berpaling tadah dengan meninggalkan parti mereka untuk menyokong penubuhan kerajaan baru bersama Umno, BN dan PAS.
Pada 28 Jul lalu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan salah guna kuasa dana SRC International Sdn Bhd.
Ditanya mengenai sokongan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam usahanya menolak kerajaan PH, Mahathir yang juga pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata dia tidak berhubung dengan Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan.
Katanya, meskipun Anwar ketua pembangkang dan Pejuang berada di blok sama, namun dia tidak berada di bawah kawalan pemimpin PKR itu.
“Ketua pembangkang bukanlah mendapat sokongan majoriti dari wakil pembangkang, kami bukanlah bawah beliau.
“Beliau hanya dipilih sebagai Ketua Pembangkang, itu tidak memberinya sebarang kuasa untuk mengawal, kami boleh buat apa yang kami suka seperti termaktub dalam parlimen," katanya.