Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1,371 kes, jangkitan tertinggi di Selangor, empat kematian
Diterbitkan:  Dec 14, 2020 6:48 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Kes baru penularan wabak Covid-19 terus berada di empat angka. Setakat jam 12 tengah hari ini, kes baru yang dicatatakan adalah 1,371 berbanding 1,229 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 84,846 kes dengan kes aktif sebanyak 13,830.

Dia berkata Lembah Klang masih mencatatkan kes tertinggi, dengan Selangor sebanyak 532 kes dan 124 kes di Kuala Lumpur. Negeri Sembilan sekali lagi mencatatkan kenaikan yang mendadak dengan 260 kes.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Sabah (283), Perak (62), Johor (45), Pulau Pinang (31), Labuan (16), Terengganu (9), Kedah (5), Kelantan (2), Melaka (1), dan Putrajaya (1).

Sarawak, Pahang dan Perlis tidak mempunyai sebarang kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini.

Kluster berkenaan adalah kluster Solar Ria melibatkan daerah Sepang, Kuala Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor. Satu lagi kluster adalah Senu Setia yang melibatkan daerah Kepong di Kuala Lumpur.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 227 klustertermasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Benteng LD di Sabah dan kluster Greenhill di Sarawak.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 191 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 46 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah kluster kluster Ceram (220 kes), kluster Tapak Bina Muda (143 kes) dan kluster Teratai (81 kes).

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,371 kes baru hari ini, hanya terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,204 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 70,597 atau 83.2 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 114 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19," katanya.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 419 kes atau 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ringkasan kes kematian hari ini adalah seperti berikut:

  • Pesakit 52,589 (kematian ke-416): Wanita warga negara Malaysia berusia 40 tahun. Meninggal dunia di Hospital Labuan. Mangsa memiliki latar belakang penyakit kencing manis.
  • Pesakit 67, 912 (kes kematian 417): Wanita dari Perak yang berusia 50 tahun. Jenazah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Mangsa mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, dan dislipidemia
  • Pesakit 80,659 (kes kematian 418): Wanita dari Sabah yang berusia 46 tahun. Meninggal di Hospital Tawau. Dia mempunyai rekod penyakit darah tinggi, dislipidemia dan obesiti
  • Pesakit 43,969 (kes 419): Lelaki bukan warga negara di Sabah yang berusia 54 tahun. Meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di Kota Kinabalu. Tiada butiran mengenai rekod kesihatannya.

[Laporan penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS