Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2 pegawai Imigresen didakwa terima suapan RM154,340

Dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdepan 33 pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, hari ini, dengan dakwaan menerima suapan bernilai RM154,340 sepanjang April 2018 hingga November 2019.

Tertuduh pertama, Mohamad Hariss Rosli, 27, berdepan 31 pertuduhan membabitkan nilai RM152,940.

Dia mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama sehingga pertuduhan ke-18, sebaik pertuduhan dibacakan, manakala bagi pertuduhan ke-19 hingga 31, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norhamizah Ghazali.

Mengikut pertuduhan tertuduh pertama, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai Imigresen di Johor memperoleh untuk dirinya sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada beberapa individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM152,940 menerusi akaun Maybank miliknya yang beralamat di Jalan Mahmood, Kota Bharu.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu sepanjang tempoh April 2018 hingga November 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, tertuduh kedua Fasmawi mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan bernilai RM1,400 pada Februari dan Mac 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh seorang pegawai Imigresen bertugas di Johor memperolehi satu benda yang berharga tanpa suatu balasan berjumlah RM1,400 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi pada 26 Februari dan 1 Mac 2019 menerusi akaun Maybank Islamic beralamat di Tumpat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian memutuskan 22 Disember sebagai tarikh fakta dan hukuman bagi kedua-dua tertuduh selain tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS