Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KATA MP | Covid-19: M’sia akan atasi China beberapa hari lagi
Diterbitkan:  Dec 14, 2020 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Sekiranya kadar peningkatan harian kes Covid-19 baru di Malaysia kekal pada paras sedia ada, Malaysia akan mengatasi kedudukan China dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19 apabila sesi Dewan Rakyat ditangguhkan pada Khamis, 17 Disember, jika tidak lebih awal pada Rabu.

Ini bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. China mempunyai 40 kali ganda jumlah penduduk (1.4 bilion) berbanding Malaysia (32 juta).

Malaysia kini berada di kedudukan ke-80 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kes Covid-19 terkumpul, iaitu 83,475 kes berbanding China, di kedudukan 79, dengan 86,725 kes.

Semalam, Malaysia mencatatkan peningkatan harian 1,229 kes, walaupun menurun berbanding hari sebelumnya (1,937 kes), peningkatan ini masih berada dalam julat empat angka seperti mana 10 Disember (2,234 kes) dan 11 Disember (1,810 kes).

Malah, Malaysia dengan trajektori semasa ini akan melepasi angka 100,000 kes terkumpul sebelum berakhirnya tahun ini, meninggalkan China jauh di belakang.

Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan Amerika Syarikat (IHME) mengunjurkan Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan kes sehingga pertengahan Mac 2021, dengan lebih 5,000 jangkitan setiap hari pada 25 Februari.

Model IHME, yang juga digunakan oleh pentadbiran Donald Trump, meramalkan 2,987 kes baharu di Malaysia pada 1 Januari, meningkat kepada 4,176 jangkitan Covid-19 pada 1 Februari, dan 5,130 kes pada 1 Mac.

Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada tarikh tersebut dan kemudian menurun kepada 5,301 kes pada 1 April.

Sekiranya model IHME ini terbukti betul, maka Malaysia boleh menjadi antara 30 atau 40 negara teratas di dunia dengan jumlah kes terkumpul Covid-19 menjelang suku kedua tahun hadapan.

Tetapi, perkara ini sebenarnya boleh dielakkan, jika kerajaan mengguna pakai pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Keseluruhan kerajaan, keseluruhan masyarakat

Inilah cara pemikiran dan pendekatan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketika mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 -- ketika ada sekitar 118,000 jangkitan.

Hari ini, terdapat lebih daripada 72.6 juta kes Covid-19 di dunia dan wabak tersebut telah mengorbankan lebih daripada 1.6 juta nyawa.

Selepas setahun, kerajaan Muhyiddin Yassin masih gagal menerapkan cara pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan Covid-19.

Sebaliknya, apa yang kita dapat adalah layanan berbeza diberikan kepada menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan - apabila prosedur operasi standard (SOP) hanya terpakai kepada rakyat biasa, tetapi tidak golongan VIP.

Malaysia perlu berazam untuk menjadi antara 30 negara teratas di dunia dalam perang menentang rasuah dan dalam integriti awam.

Malaysia tidak harus termasuk antara 30 negara teratas di dunia yang gagal dalam dasar kesihatan awam susulan jumlah terkumpul kes Covid-19 yang tertinggi.

Marilah jadikan Malaysia satu kisah kejayaan, seperti Korea Selatan yang berada di kedudukan ke-90, atau Hong Kong (132), atau Thailand (151), atau Vietnam (169).

Jangan jadi seperti Amerika Syarikat yang berada di tempat pertama, atau Brazil di tempat ketiga atau United Kingdom di tempat keenam.

Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19 harus ditubuhkan di Dewan Rakyat dengan diketuai oleh mantan menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Jawatankuaa ini harus mengadakan pendengaran awam dan melibatkan pemikir-pemikir terbaik dalam negara dalam perang melawan wabak Covid-19.

Ini adalah langkah pertama bagi Malaysia untuk menerapkan pemikiran dan pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Saya telah membuat cadangan ini berkali-kali tetapi kelihatan seperti cadangan saya ini tidak diendahkan sama sekali.

Sekiranya Dewan Rakyat tidak melakukan apa-apa untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Covid-19, adakah Dewan Negara bawah presiden barunya, Rais Yatim, bersedia untuk melakukannya?


LIM KIT SIANG ialah ahli parlimen DAP Iskandar Puteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS